Berita

MPOB, FGV laksana projek percubaan komersial B20

KUALA LUMPUR, 13 Sept -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan FGV Holdings Bhd sedang menjalankan projek percubaan menggunakan B20 iaitu adunan 20 peratus biodiesel sawit dan 80 peratus diesel petroleum bagi kenderaan diesel.

Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata projek percubaan FGV Transport Services akan melibatkan pengumpulan data teknikal untuk membuktikan bahawa penggunaan B20 tidak akan menjejaskan enjin kenderaan.

“Projek percubaan itu akan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan B20 dan mempamerkan komitmen FGV Transport Services dalam menyokong inisiatif kerajaan,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata kumpulan itu berharap dapat mencapai data yang komprehensif dan konsisten daripada ujian percubaanselama enam bulan itu.

Projek berkenaan melibatkan pemantauan kualiti B20 dengan mengambil sampel bagi setiap penghantaran biodiesel daripada pembekal.

Enam trak tangki daripada FGV Transport Services tidak akan menjalani sebarang pengubahsuaian sepanjang tempoh percubaan tersebut.

“Semasa penyelenggaraan biasa pada 30,000 kilometer, pemeriksaan akan dilakukan ke atas penapis bahan api dan pemisah air, manakala minyak pelincir akan dikumpulkan secara berkala dan dihantar ke makmal luaran untuk dianalisis,” kata Haris.

Beliau berkata kenderaan yang digunakan untuk projek tersebut akan dipantau dari segi pergerakan, penggunaan bahan api dan kos penyelenggaraan.

Acara pelepasan trak FGV yang diisi B20 itu diadakan di depoh FGV Transport Services di Pelabuhan Klang hari ini.

Malaysia berjaya melaksanakan program B10 (adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum) dalam sektor pengangkutan mulai Februari lepas dan B7 (tujuh peratus biodiesel sawit dan 93 peratus diesel petroleum) bagi sektor perindustrian pada Jun tahun ini bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada kenderaan diesel.

Penggunaan kandungan minyak kelapa sawit dalam biodiesel bagi sektor pengangkutan yang dijangka meningkat kepada 20 peratus tahun depan akan mewujudkan alam sekitar yang lebih bersih.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]