KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia pada Rundingan Meja Bulat Peringkat Menteri Mengenai Tenaga Asia (AMER8) kali kelapan dan Kongres Tenaga Dunia ke-24 (WEC24), sempena lawatan kerjanya ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Delegasi Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam semua sesi di AMER8 dan WEC24 dengan bertukar dan berkongsi pandangan, idea dan perspektif baharu mengenai teknologi baharu dan penyelesaian secara inovatif dalam menangani isu trilemma bagi jaminan tenaga, kelestarian dan kemampuan, dengan perwakilan dari 62 negara.
Menurut kenyataan, ketibaan Azmin disambut oleh Menteri Tenaga dan Industri UAE, Suhail Al Mazrouei. Kedua-dua menteri itu mengadakan perbincangan yang produktif dan menarik mengenai bidang-bidang yang berpotensi bagi jalinan kerjasama ekonomi dan peluang pelaburan selanjutnya antara Malaysia dan UAE.
Bidang yang dibincangkan termasuk penyertaan syarikat UAE dalam projek infrastruktur awam Malaysia.
Azmin turut diberi penghormatan mengadap Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE, kata kenyataan itu.
Pertemuan itu adalah susulan lawatan khas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada Jun 2019, yang telah membuka jalan bagi kerjasama ekonomi yang lebih baik dengan UAE, yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.
Perbincangan diteruskan semasa lawatan baginda ke Malaysia untuk menghadiri istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Julai, apabila pertemuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Azmin dengan baginda untuk membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Bersama (JIC) antara Malaysia dan Abu Dhabi bagi meningkatkan hubungan ekonomi dan memudahkan pelaburan antara kedua-dua negara, membuahkan hasil.
JIC dijangka menjadi topik utama perbincangan semasa pertemuan Azmin dan baginda.
Azmin juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala di luar AMER8 dan WEC24 dengan Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Industri Brunei Darussalam Datuk Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md Hussein, dan Menteri Petroleum & Gas Asli dan Menteri Keluli India Dharmendra Pradhan.
Mesyuarat dua hala itu akan membincangkan langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan Brunei Darussalam dan India.
Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, diplomat dari Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan pengurusan kanan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Malaysia bersedia untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan strategik dengan para pemimpin di AMER8 dan WEC24 bagi mencetuskan idea dan penyelesaian baharu yang mampan dalam menangani isu-isu akses kepada jaminan tenaga, kemampanan dan kemampuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]