Berita

Sudah sampai masa negara pelbagaikan penggunaan minyak sawit - Teresa Kok



KUALA LUMPUR, 3 Sept  -- Sudah sampai masanya bagi Malaysia untuk mencari lebih banyak penggunaan baharu bagi minyak sawit untuk mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap komoditi itu dalam usaha menstabilkan harga minyak sawit mentah, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Justeru, beliau berharap kementerian itu akan menerima peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2020 yang akan datang bagi tujuan tersebut. 

“Kami berharap lebih banyak dana akan diperuntukkan untuk melakukan penyelidikan, terutamanya dalam bahan api biojet serta produk perubatan dan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jenama minyak masak Alif yang berwajah baharu, di sini, hari ini. 

Beliau juga berharap pelaksanaan bahan api biodiesel B20 akan berjalan lancar kerana ini akan membantu menyokong lagi harga minyak sawit. 

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Kok berkata minyak sawit sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dan dikaitkan dengan isu penebangan hutang, kemusnahan biodiversiti dan malahan dilabel sebagai tidak sihat.  

“Kritikan negatif itu telah menyebabkan peningkatan sentimen anti minyak sawit dan ia juga perlahan-lahan telah menjejaskan persepsi pengguna tempatan kita.  

“Menyedari kepentingan industri ini, perlu untuk memastikan rakyat Malaysia memahami manfaat minyak tersebut serta sumbangannya kepada negara dan terus menyokong industri tempatan,” katanya.  

Selain meningkatkan permintaan tempatan, rakyat Malaysia juga perlu bersatu hati menyokong dan mempertahankan industri, katanya.

Kok turut menekankan bahawa pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) juga boleh membantu meningkatkan harga minyak sawit tempatan kerana ia telah menerima pengiktirafan antarabangsa, antaranya ialah Jepun yang akan menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo tahun depan. 

Di dalam negara, katanya, pensijilan itu menjadi semakin penting kerana pengguna dalam semua industri telah menjadi semakin canggih dan bijak. 

“Golongan millennial, yang akan menjadi generasi pengguna seterusnya dengan kuasa beli dikatakan lebih memilih jenama yang menghasilkan produk lestari. 

“Oleh itu, pembuka jalan bagi kebanyakan syarikat jenama pengguna adalah memastikan pelanggan mendapat maklumat mengenai usaha kelestarian yang dilaksanakan syarikat untuk menghasilkan produk mereka,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]