Berita

Malaysia perlu pelaburan RM33 bilion untuk capai sasaran tenaga boleh diperbaharui

Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR, 3 Sept  -- Malaysia perlu pelaburan sebanyak RM33 bilion bagi membolehkan ia mencapai sasaran 20 peratus penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025.

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, pelaburan itu akan disumbangkan oleh kerajaan, perkongsian awam-swasta dan pembiayaan persendirian.

"Suruhanjaya Sekuriti telah membuat kajian selama enam bulan ke atas pembiayaan hijau, yang mana ia telah menubuhkan pasukan petugas khas. Ia menerbitkan satu laporan mengenai 21 item tindakan untuk memudahkan pelaburan RM33 bilion dalam RE dan kerajaan akan melihat semua item tindakan ini sebelum melaksanakannya dengan wajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Tenaga dan Kuasa Siri Asia 5 dalam 1 yang julung kali diadakan di sini hari ini.

Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan semua insentif semasa seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau bagi merangsangkan pertumbuhan RE. 

Sementara itu, pusingan ketiga dalam bidaan solar berskala besar (LSS3) yang telah  berakhir pada bulan lepas menyaksikan jumlah kos penjanaan kilowatt-jam (kWj) daripada tenaga solar adalah lebih rendah daripada penjanaan tenaga menggunakan sumber-sumber gas asli. 

Katanya, kos penjanaan solar yang lebih rendah berpunca daripada pembangunan dalam kemajuan teknologi panel solar, ini membolehkan projek tersebut membida dengan kos serendah 17.77 sen bagi setiap kWj. 

Terdahulu dalam ucapan, beliau berkata projek LSS3 sedang ditawarkan kepada Malaysia dalam usaha untuk menyediakan elektrik dengan harga yang berpatutan, boleh dipercayai dan berterusan kepada rakyat.

Kos tenaga solar yang lebih murah berbanding gas sudah pun wujud di Malaysia dan pada masa hadapan, kerajaan menjangkakan kos ini akan turun lagi. 

Sebagai contoh, dalam bidaan LSS3 yang baharu sahaja selesai, empat projek pertama yang merangkumi 365 MW daripada 500 MW sebenarnya dibida di bawah harga penjanaan gas sebanyak 23.22 sen bagi setiap kWj. 

"Dalam pusingan kedua bidaan LSS, 32 sen bagi setiap kWj adalah harga yang paling rendah; yang kemudiannya, menjadi harga rujukan kami apabila kami membuka bidaan LSS3 pada tahun ini. Tetapi apabila bidaan ini ditutup, kami mendapat tawaran yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak 17.77 sen bagi setiap kWj.

"Ia berkurangan 45 peratus dalam hanya beberapa tahun. Itu sebabnya mengapa kami sangat yakin bahawa harga RE itu akan mencapai pariti (dengan gas) pada masa hadapan," katanya, sambil menambah bahawa Malaysia juga sedang meninjau jenis RE yang lain untuk mencapai pariti dengan atau di bawah penjanaan kos gas.

Pameran Tenaga dan Kuasa Siri Asia 5 dalam 1 menampilkan POWERGEN Asia, Minggu Utiliti Asia, DISTRIBUTECH Asia, SolarVision dan Peneraju Permodalan Tenaga Asia, dimulakan hari ini dan akan berlangsung sehingga 5 Sept di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia.

Acara itu telah dianjurkan oleh Tenaga Nasional Bhd, ia dijangka akan menarik lebih daripada 11,000 pelawat dan 2,000 pembeli antarabangsa, sebagai tambahan kepada 350 pempamer, bagi bertukar-tukar idea, pengalaman dan pengetahuan. 

Siri ini meliputi rantaian keseluruhan yang tertumpu kepada penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan konvensional, penghantaran, pengagihan, transformasi digital serta pembiayaan peralihan tenaga oleh industri. 

-- BERNAMA 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]