Berita

TNB paparan sejarah, pencapaian bekalan tenaga selama 70 tahun 



Oleh Yong Soo Heong

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Jika diamati sejarah perjalanan Tenaga Nasional Bhd (TNB), kita pasti menemui pelbagai paparan menarik di sebalik penubuhannya merangkumi permusuhan antara pelbagai cabang pentadbiran era penjajah, perdebatan mengenai kaedah terbaik bagi penjanaan elektrik serta keputusan yang membawa kepada penubuhan syarikat utiliti nasional tersebut.

Antara paparan itu adalah bukti bahawa minyak sawit sudah pun digunakan sebagai sumber bahan api alternatif berikutan kesukaran mendapatkan diesel kira-kira 70 tahun lepas, minyak kelapa pula dijadikan pelincir bagi penjanaan elektrik di zaman serba sukar serta pengeluar tenaga bebas (IPP) yang telah wujud di Malaya sebelum Perang Dunia Kedua berikutan perkembangan ekonomi khususnya keperluan perlombongan bijih timah.

Perkembangan itu turut membuktikan satu pencapaian berikutan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api selain keperluan kewujudan IPP yang masih kekal relevan pada abad ke-21.

Ketika era suram penjajahan Jepun (8 Dis,1941 hingga September 1945), kalangan jurutera awam Jepun didapati turut gigih bersama tenaga kerja tempatan bagi memulihkan hampir 80 peratus kemudahan elektrik yang sama ada diabaikan atau dimusnahkan oleh tentera British.

Usaha itu disenangi ramai penduduk tempatan sehinggakan ketua-ketua stesen tenaga elektrik yang dikendalikan oleh Nippon Hassoden Kabushiki Kaisha (NHKK) juga dikenali sebagai ‘Tuan Api.’

Semua paparan itu menunjukkan bahawa tenaga elektrik adalah antara penemuan sains dan teknologi yang hebat, penyumbang peradaban dan teras pembangunan mulai lewat abad ke-19 sehinggalah sekarang.                Malah, atas alasan itu, Malaysia sentiasa berusaha memastikan bahawa cahaya tenaga itu tidak pernah malap untuk menerangi kehidupan rakyat.

Buku dua jilid - ‘Power Builds the Nation’ hasil tulisan anak kelahiran London, Allahyarham Muzaffar (Desmond) Tate yang dipertanggungjawabkan oleh LLN atau Lembaga Letrik Negara (nama awal sebelum ditukar kepada TNB) pada ulang tahun ke-40 pada 1989, banyak memaparkan sisi perjalanan salah satu syarikat utiliti awam dan swasta milik negara ini.

“Ramai yang mengambil kesempatan (kerana sebegitu mudahnya mendapat) bekalan tenaga ini. Namun, buku ini mengingatkan mengapa sikap sedemikian perlu diubah,” kata Muzaffar ketika beliau menjejaki pembangunan bekalan tenaga elektrik di negara ini pada era sebelum Perang Dunia Kedua, khususnya pembangunan bekalan tenaga di Kuala Lumpur yang menjadi asas transformasi TNB.

Muzaffar turut berkongsi maklumat mengenai bekalan elektrik ke bahagian lain negara ini, terutamanya penubuhan serta pertumbuhan Perak River Hydro-Electric Power Company (dan anak syarikatnya, Kinta Electrical Distribution Company) yang merupakan penjana terbesar di Semenanjung Malaya sebelum perang dunia kedua.

Dalam buku tersebut, kalangan pembaca dapat menyingkap maklumat serta butiran personaliti di sebalik nama-nama jalan raya di negara ini seperti Stonor, Cochrane, Belfield, Hose, Robson, Young, Watson dan Treacher.

Tidak kurang menariknya, Muzaffar turut mengetengahkan fakta bagaimana penjajahan Jepun telah memberi kesan kepada jurutera dan juruteknik elektrik tempatan dengan menyuntik mereka “satu keyakinan baharu mengendalikan tugasan yang sebelum ini hanya boleh dijalankan oleh jurutera dalam kalangan pegawai dagang asing (British).”

Malah, di bawah arahan Jepun, tenaga kerja tempatan berjaya menggunakan sumber sendiri bagi memulihkan semula loji atau stesen yang dirosakkan selepas pengunduran British.

Pengalaman A. Ramanath yang juga Timbalan Pengurus Besar (Perancangan dan Pembinaan) LLN pada 1980-an, memberi gambaran jelas mengenai tahun-tahun peperangan yang mana pihak Jepun menjadikan barisan jurutera dan juruteknik tempatan untuk mempamerkan kecekapan masing-masing dan tiada sebarang perkara mistik dalam sistem kejuruteraan stesen tenaga itu kecuali kerja keras dan memahami sistem dan teknologi terbabit dengan sebaiknya.

Menerusi kata-kata beliau sendiri dalam buku LLN yang lain bertajuk ‘People Behind the Lights,’ Ramanath berkata sumbangan pihak Jepun bagi meningkatkan keupayaan jurutera tempatan lazimnya tidak dikongsi mahu pun diiktiraf.

Ramanath menulis : “Apabila pihak British meninggalkan Malaya pada awal 1942, mereka menjalankan dasar ‘penafian’ di stesen-stesen janakuasa - membiarkan api dibakar pada tahap maksimum dan dandang musnah dengan menutup bekalan air serta memusnahkan peralatan penting lainnya.

“Di stesen tenaga Bangsar misalnya, semua komponen penting ini dibuang ke dalam kolah penyejuk. Apabila pihak Jepun datang, pengurus Jepun stesen itu bersama-sama jurutera tempatan dan pembantu teknikal saling berusaha daripada peringkat asas lagi sehingga berjaya memulihkan tenaga telektrik yang dibekalkan ke Kuala Lumpur dalam masa hanya sebulan.”

Oleh itu, keyakinan diri baharu dan prospek lebih bebas yang digarap menerusi pengalaman sewaktu peperangan, turut mempengaruhi rakyat Malaysia yang mengawasi pemasangan kemudahan elektrik di serata negara, sewaktu bertemu semula British selepas berakhirnya perang tersebut. Namun, pihak British dilihat dari sudut berbeza pada kali ini.

Tempoh pasca perang dunia kedua itu menyaksikan usaha bagi memulihkan stesen janakuasa yang musnah sebelum ini manakala permintaan terhadap tenaga di Semenanjung pula mengatasi penawaran yang ada.

Jabatan Elektrik dalam era penjajahan yang bertanggungjawab terhadap tugasan itu cuba memuaskan semua peringkat pengguna - daripada kemudahan perniagaan sehinggalah kediaman.

Namun, tempoh pasca perang menyukarkan usaha untuk memperoleh peralatan bagi memulihkan semula bekalan tenaga tersebut.

Sebagai contoh, dalam usaha untuk meningkatkan bekalan elektrik, Jabatan Elektrik mengarahkan supaya dandang 30 tan yang dibawa kapal pengangkut pesawat, diturunkan di Pelabuhan Swettenham (kini Pelabuhan Klang).

Berikutan saiznya yang amat besar, jabatan itu terpaksa meminjam trak pengangkut digunakan bagi mengangkut kereta kebal Sherman dari Tentera British semata-mata untuk membawa dandang tersebut.

Demi mengelak selekoh tajam serta jambatan berisiko bagi perjalanan dari pelabuhan itu ke Kuala Lumpur, trak itu perlu menggunakan kawasan termasuk di luar bandar.

Malangnya, ketika menghampiri kawasan pedalaman Puchong (yang kini merupakan perbandaran yang pesat), keadaan tanah yang lembut menyebabkan dandang itu tercampak dan tenggelam dalam sawah padi sehingga memerlukan masa selama dua minggu sebelum dapat dikeluarkan daripada lumpur dan dibawa ke stesen janakuasa Bangsar.

Pada 1948 sejajar  dengan pemulihan bekalan tenaga yang telah lengkap sepenuhnya, ini akhirnya disusuli dengan cadangan penubuhan Lembaga Letrik Pusat (LLP) iaitu badan awal sebelum LLN dan TNB.

Bagi pihak berkuasa, tanggungjawab menjana elektrik itu wajar diserahkan kepada badan berkanun atau entiti komersial dan bukannya jabatan kerajaan.

Matlamat utamanya adalah menubuhkan sebuah organisasi autonomi sebagai pihak berkuasa tunggal dalam menyatukan dan mengawal penjanaan, pembekalan dan penggunaan elektrik.

Pada 1 Sept, 1949, LLP diwujudkan bagi mengemudi era baharu bekalan tenaga di negara ini dan banyak yang diraih selepas LLP dinamakan semula sebagai LLN pada 22 Jun, 1965.

Seterusnya, pada 1 Sept, 1990, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri keempat ketika itu, mengumumkan secara rasmi kewujudan TNB bagi menggantikan LLN.

Sebagaimana yang pernah diungkapkan Pengerusi pertama TNB,  Allahyarham Tan Sri Dr Ani Arope, TNB merupakan kisah penuh inspirasi kemampuan rakyat Malaysia mengambil alih dan mengembangkan satu perusahaan yang bermula di bawah rejim penjajahan British. Selebihnya adalah sejarah kerana sehingga kini, TNB terbukti berkembang dan muncul sebagai antara utiliti tenaga yang diurus secara baik di peringkat dunia.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]