Oleh Manik Mehta
BERLIN, 29 Ogos (Bernama) -- Malaysia kini lebih ofensif dalam usahanya memberi penerangan mengenai dasar minyak sawit negara kepada Kesatuan Eropah (EU), selain menghalang blok itu daripada melaksanakan apa yang digambarkan sebagai ‘kecenderungan terhadap perlindungan’.
Jerman, ekonomi paling kukuh di Eropah, mengambil pendekatan yang lebih lembut dalam isu minyak sawit dalam kalangan anggota EU, terutama di Eropah Selatan dengan kelompok pembekal minyak makan yang lebih kukuh.
Tindakan mengeluarkan minyak sawit sebagai bahan api bio pada 2030 di EU, kini menjadi cabaran untuk dua pengeluar terbesar minyak makan itu, Indonesia dan Malaysia.
"Eksport minyak sawit penting bagi ekonomi Malaysia. Kami berusaha untuk memberi maklumat terkini, bukan sahaja kepada rakan di Jerman, malah di negara lain di Eropah, bagi menangani kebimbangan mereka terhadap isu berkaitan minyak sawit untuk mencapai situasi sama-sama menang dalam kalangan semua pihak berkepentingan.
"Kerajaan Malaysia akan terus terlibat, dengan menganjurkan dialog mengenainya dengan pelbagai institusi di EU," kata Datin Sarah Nava Rani Albakri Devadason, Duta Besar Malaysia ke Jerman, kepada Bernama.
Malaysia juga telah dan akan terus membangkitkan kebimbangan mengenai pemansuhan perubahan penggunaan tanah tidak langsung (ILUC) pada mesyuarat-mesyuarat WTO seperti Jawatankuasa mengenai Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT), Perdagangan dan Alam Sekitar (CTE) serta Majlis Perdagangan Barangan (GTG) selain melalui organisasi Rakan Minyak Sawit.
Presiden Indonesia Joko Widodo, bersama Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa bulan lepas telah menulis surat kepada Kesatuan Eropah untuk menyelesaikan isu minyak sawit.
Kedua-dua pemimpin telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap layanan Suruhanjaya Eropah ke atas minyak sawit, iaitu memutuskan bahawa penebangan hutan hujan di Asia Tenggara untuk ladang kelapa sawit tidak melayakkan minyak yang dihasilkan sebagai sumber bahan api lestari.
Susulan itu, sesetengah negara anggota ASEAN mengesyaki bahawa keputusan EU itu disebabkan oleh peningkatan perlindungan dalam EU dan bukannya keputusan berasaskan saintifik. Perlindungan digunakan memandangkan ramai duta-dutanya yang berpejabat di ibu negara ASEAN mendesak pelaksanaan perdagangan bebas dalam kumpulan ASEAN.
Sekiranya EU bertekad menentang bahan api berasaskan bio minyak sawit, perniagaan Jerman yang berurusan dengan rantau ASEAN, bimbang kesannya ke atas eksport dan perniagaan Eropah, yang mempengaruhi rundingan perdagangan yang sedang berlangsung, serta penyediaan bekalan dan import utama dari EU .
Syarikat pembuatan pesawat Airbus, yang nampak prospek mendapatkan tempahan untuk jet tempur A-400-M, mungkin diketepikan. Inilah yang dirasakan oleh penggiat industri itu.
Seorang wakil dari sebuah syarikat perindustrian Jerman memberitahu Bernama bahawa keputusan EU itu bertujuan ‘mendorong Indonesia dan Malaysia menyerah kepada China’.
Menyentuh sentimen yang berlaku di Indonesia dan Malaysia, wakil-wakil syarikat Jerman secara peribadi mengatakan bahawa lobi ke atas petani minyak biji sesawi Perancis dan peladang soya di Amerika memacu sentimen antiminyak sawit di Barat.
Negara yang membekalkan minyak sawit di ASEAN sudah pasti akan membawa isu itu kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Ada sebab yang menarik bagi ASEAN untuk mengambil langkah ini, memandangkan lebih daripada 13 juta penduduk di Indonesia dan Malaysia bergantung secara langsung kepada minyak sawit sebagai sumber mata pencarian mereka.
Oleh itu, isu minyak sawit merupakan kepentingan nasional bagi ASEAN.
Sementara itu, para pegawai Malaysia telah memperkukuh komitmen mereka untuk menghasilkan minyak sawit lestari, memenuhi ‘piawaian keterlaluan yang diperlukan oleh EU dan dunia’.
Mereka berharap Minyak Sawit Malaysia yang disahkan lestari (MSPO) akan terus menjadi minyak sawit pilihan dalam kalangan pengguna dan pembeli Eropah.
Menurut Sarah Nava, Malaysia juga bekerjasama dengan International & Carbon Certification (ISCC) ke arah mengukuhkan prinsip dan kriteria MSPO, sejajar dengan amalan yang diterima secara global ke atas kemampanan. Pada masa ini, bio bahan api Malaysia yang dieksport ke EU, disahkan sepenuhnya oleh ISCC.
Malaysia, bagaimanapun, mengambil berat tentang keperluan dan kriteria baharu ILUC, serta kaedah yang digunakan untuk mengira pelepasan daripada ILUC yang tidak disokong sepenuhnya oleh majoriti pakar, yang mungkin tidak tepat atau tidak konsisten.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]