Berita

Perbetulkan salah faham mengenai Lynas



Oleh Azman Ujang

 KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Mungkinkah sesebuah syarikat antarabangsa yang memiliki nama baik sanggup melaburkan berbilion ringgit di Malaysia atau di mana jua pun jika operasinya memberi risiko tinggi kepada penduduk dan alam sekitar?

Dan, bahkan apakah ia akan mendedahkan para pekerjanya kepada risiko seumpama itu seperti yang didakwa para pengkritik Lynas selama beberapa tahun ini, iaitu sejak ia mula beroperasi?

 Justeru, masuk akalkah atau tidak jika para pekerjanya masih mahu terus bekerja di tempat itu sekiranya para pengkritik itu betul kononnya kilang syarikat itu mempunyai risiko buruk kerana menghasilkan radiasi yang tinggi?

Inilah kisah mengenai kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng di Pahang yang dimiliki Lynas Corporation dari Australia yang dituduh mengeluarkan bahan bertoksik oleh para pengkritik yang terdiri daripada para aktivis, pejuang alam sekitar dan lain-lain sejak ia memulakan operasinya pada 2012.

 Malah, mungkin tiada pelabur asing lain yang dilemparkan tuduhan dengan tidak henti-henti, yang dianggap oleh seorang eksekutif Lynas sebagai " tidak lebih daripada tuduhan liar dan tidak pernah sekali pun dapat membuktikannya secara saintifik".

Malah, apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan keputusannya pada 15 Ogos lepas untuk menyambung lesen bagi Lynas beroperasi dengan syarat-syarat yang lebih ketat, dakwaan-dakwaan ini tidak juga reda.

Lynas Malaysia adalah satu daripada sebilangan kecil kilang yang memproses Nadir Bumi  di luar negara China.

Kompaun Nadir Bumi adalah satu kumpulan yang mempunyai unsur-unsur kimia serupa yang amat diperlukan dalam pembuatan banyak produk berteknologi tinggi.

Ciri-ciri unik magnetik, sifat berkilau dan elektrokimianya menjadikannya komponen sesuai dalam barangan elektronik pengguna, kamera dan lensa-lensa teleskopik, enjin pesawat, televisyen dan skrin komputer, produk-produk kesihatan dan banyak lagi. Apapun namanya, ia bagaimanapun boleh diperoleh dengan banyaknya dari alam semula jadi.

" Lynas mungkin satu-satunya syarikat yang telah mematuhi setiap aspek syarat-syarat yang sangat ketat yang ditetapkan oleh agensi-agensi pengawal seliaan kebangsaan dan antarabangsa dan didapati telah mematuhi syarat-syarat berkenaan setiap kali diperiksa. Jadi, apa lagi yang mereka (para pengkritik) mahu Lynas lakukan?” Tanya Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas, Prof Dr Ismail Bahari. 

Dr Ismail bukan hendak memperbesar-besarkan ataupun mempertahankan Lynas hanya semata-mata kerana mahu mempertahankannya. 

Atas permintaan kerajaan Malaysia, pakar-pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berpejabat di Vienna telah menjalankan kajian semula bebas mengenai radiasi dan aspek-aspek kesihatan di kemudahan itu sejak bulan Mei 2011 lagi.

Berikutan kajian semula itu, pihak IAEA telah mengeluarkan laporan yang mengesahkan bahawa risiko kesan radiasi kepada orang ramai dan alam sekitar yang dikaitkan dengan operasi Lynas adalah secara "instrinsiknya rendah".

 Laporan IAEA itu juga menyebut bahawa Lynas telah menyebarkan maklumat secara meluas dan giat melaksanakan aktiviti libat urus dengan para pemegang taruh melibatkan lebih 10,000 orang dan menjadi hos kepada hampir 3,000 orang pemegang taruh yang melawat tapak kilang berkenaan.

Para pelawat ke kilang Lynas itu termasuk ahli-ahli politik, para ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang telah diberi maklumat berkenaan operasi Lynas selain mengenai keselamatan dan data alam sekitar. Sebagai tambahan, program jangkauan ke sekolah-sekolah dan ketersediaan data dalam talian mengenai radiasi dan pelepasan secara tepat masa di laman sesawang Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (DOE) menunjukkan bahawa Lynas telah memperluaskan komitmennya dalam program-program libat urus masyarakat.

Ia juga menyebut bahawa sejak memulakan operasi, Lynas telah meletakkan standard paling tinggi dalam industri dari segi alam sekitar, keselamatan dan isu-isu kualiti, dan kekal komited untuk membekalkan bahan-bahan Nadir Bumi dengan amalan-amalan alam sekitar yang terjamin, daripada perlombongan kepada pemasaran, dengan memastikan ketelusan yang maksimum berkenaan projek itu.

Pasukan pakar-pakar dari IAEA itu juga telah menjalankan misi-misi susulan atas permintaan kerajaan dan telah mengkaji semula kemajuan 11 cadangan yang dibuat dalam misi kajian semula IAEA pada 2011 dengan berjumpa para pemegang taruh.

Dalam satu pengumuman pada 2017, ia mengulangi bahawa risiko radiasi yang disebabkan oleh kilang Lynas itu adalah rendah dan Malaysia sentiasa aktif mengemas kini peraturan-peraturan, selaras dengan kebanyakan standard-standard keselamatan terbaru IAEA.

 " Pasukan IAEA amat berpuas hati dengan keterbukaan kerajaan Malaysia, Lynas dan para pemegang taruh yang lain dalam memberikan maklumat dan pandangan. Ini amat membantu kami dalam memamahami situasi berkenaan," kata ketua pasukan Juan Carlos Lentijo, yang juga Pengarah Bahagian Teknologi Buangan dan Kitaran Bahan Api Nuklear di Jabatan Tenaga Nuklear IAEA yang dilaporkan sebagai telah berkata demikian pada waktu itu.

Ia juga menarik perhatian bahawa risiko radiasinya adalah rendah kerana ia hanya mengendalikan bahan-bahan yang tahap "radioaktifnya sangat rendah".

IAEA menggalakkan Lynas dan AELB untuk mengekalkan pendekatan proaktif dalam menangani pihak media, orang awam dan pemegang taruh yang lain dari semasa ke semasa, untuk menangani salah faham yang berterusan mengenai kilang dan isu-isu radiasi secara amnya.

Berikutan perlanjutan tempoh lesennya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah dengan tegas mempertahankan keputusan kerajaan itu, dengan mengatakan bahawa ia adalah berdasarkan pandangan pakar-pakar yang berpandangan bahawa kilang itu "tidak berbahaya" sambil menegaskan bahawa Lynas  bukanlah sebuah loji tenaga nuklear.

" Ia bukan Chernobyl. Chernobyl ya, ia sangat berbahaya. Ini tidak akan mendatangkan bahaya. Dan mereka yang bekerja di sana pun tidak pernah mengadu.”

Kemalangan di loji nuklear Chernobyl yang berlaku pada 26 April 1986 di Ukraine adalah bencana nuklear paling dahsyat dalam sejarah.

" Pandangan orang ramai adalah satu perkara. Pandangan pakar-pakar adalah satu perkara yang lain. Adakan anda mahu percaya kepada pandangan yang popular atau anda mempercayai pandangan pakar-pakar?  Sekiranya anda mempercayai pandangan yang popular, anda tidak dapat melakukan apa pun kerana setiap kali kita mencadangkan sesuatu, ada saja orang yang menentangnya," kata perdana menteri.

" Jika anda melayan Lynas seperti paria, dan menyuruh mereka keluar dari negara ini, tidak akan ada orang lain yang akan datang ke negara ini untuk melabur," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Pengarah Urusan  Lynas Malaysia Sdn Bhd Datuk Mashal Ahmad berkata selain perbelanjaan modal sebanyak RM3 bilion, perbelanjaan mengurus tahunan syarikat berjumlah RM600 juta atau kurang sedikit daripada bajet tahunan kerajaan negeri Pahang dan wang itu dibelanjakan dalam negara, kebanyakannya dalam negeri Pahang sendiri.

Daripada 900 kakitangannya, yang kebanyakannya menjawat jawatan berkualiti, hanya 18 orang adalah pegawai ekspatriat manakala selebihnya adalah rakyat Malaysia. Kira-kira 2,000 orang lagi bekerja dengan syarikat-syarikat yang membekalkan perkhidmatan atau bahan mentah kepada Lynas.

Bernama telah menemu bual tiga eksekutif kanan Lynas mengenai perasaan mereka menghadapi pelbagai tohmahan tidak berasas daripada para pengkritik.

" Kebanyakan orang yang bersikap anti-Lynas adalah kalangan mereka yang tidak pernah datang ke kilang ini pun. Jika mereka datang ke sini dan melihat bagaimana kami menguruskan keseluruhan kilang dari segi pendekatan-pendekatan kita terhadap aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerja kita dan penduduk di sekitarnya, selain alam sekitar kita, saya yakin mereka akan mempunyai pandangan lain," kata Norhelmie Hashim, seorang penyelia kilang.

Seorang lagi eksekutif kanan, Badrul Hisham Zulkifli menyelar para pengkritik Lynas dan berkata:" Kami tidak pernah nampak mereka yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kami dalam kalangan masyarakat di sini. Kami cuma melihat mereka dalam suratkhabar-suratkhabar atau TV atau mengintip di belakang rumah kami.

"'Kami sudah letih menjadi sebahagian daripada permainan politik mereka," kata beliau.

Eksekutif Kanan Bahagian Perolehan Mariam Alias malah lebih tegas menunjukkan kebenciannya kepada para pengkritik Lynas.

" Saya telah bekerja di sini selama beberapa tahun. Saya telah melahirkan dua bayi yang sihat dan saya adalah seorang daripada sejumlah ibu-ibu yang bekerja di sini dan Alhamdulillah, kesemua anak-anak kami dilahirkan sihat dan kekal sihat.

" Amat mudah untuk menyebarkan pembohongan tetapi jika anda melihat sendiri fakta-faktanya, ia memberikan gambaran yang lain," tambahnya.

Pujian besar harus diberikan kepada perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan atas keputusan membenarkan Lynas meneruskan perniagaan dengan bersyarat kerana satu perkara yang tidak dingin dilihat oleh pelabur asing ialah negara mengizinkan mereka masuk ke negara ini tetapi kemudiannya menukar pendirian.

Kepada para pengkritik tegar Lynas, pesanan daripada para pekerja dan mereka yang bersependapat dengan mereka adalah jelas -- tolong gunakan akal budi. 

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]