Berita

Pakar Australia boleh bantu tingkat rantaian nilai Malaysia- Darell



Oleh Mohd Khairi Idham Amran

MELBOURNE, 25 Ogos – Kepakaran Australia dalam sektor yang berintensifkan pengetahuan, boleh membantu meningkatkan rantaian nilai Malaysia dalam segmen industri kritikal, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan kerjasama strategik antara syarikat Australia dan Malaysia, yang bukan sahaja meningkatkan rantaian nilai syarikat-syarikat Malaysia dalam segmen kritikal, bahkan  untuk terus menjadikan Malaysia pusat keuntungan serantau dalam pelaburan berkualiti.

"Kami menyambut baik kemasukan pelaburan berkualiti ke negara ini yang akan menyumbang kepada peningkatan keupayaan teknologi Malaysia, membangunkan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan hasil eksport kami," katanya kepada Bernama dalam temu bual pada Seminar Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Malaysia sebagai Gerbang ke ASEAN, di sini hari ini.

Beliau berkata kedudukan Malaysia sebagai pusat keuntungan serantau dalam pelaburan berkualiti,  sedang dipertingkat menerusi pelancaran Dasar Kebangsaan Industri 4.0 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lepas.

"Malaysia komited mengubah sektor pembuatan dan perkhidmatan negara menjadi lebih pintar dan kukuh, didorong oleh proses, teknologi dan pekerja bagi mengekalkan daya saingnya Malaysia sebagai pintu masuk ASEAN dan pasaran global," katanya.

Beliau berkata pelan jangka panjang Malaysia bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada rakyat tempatan, malah untuk meningkatkan kemudahan kepada pelabur untuk menjalankan perniagaan.

“Kita sedar bahawa perniagaan berkembang pesat dalam persekitaran yang stabil, selamat dan telus yang menawarkan perlindungan modal dan aset intelektualnya, selain kemampuan untuk mengehadkan kedudukan yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata usaha berterusan negara dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk memudahkan aktiviti perniagaan, diperakui oleh banyak organisasi antarabangsa.

Menteri itu berkata Malaysia diisytihar sebagai negara terbaik di dunia untuk melabur atau menjalankan perniagaan pada 2019 oleh majalah CEOWORLD, dan pasaran pesat membangun paling menarik pada Asia Bloomberg Scorecard Market Emerging pada 2018.

Beliau berkata negara itu juga telah melonjak sembilan anak tangga ke tempat 15 antara 190 ekonomi di seluruh dunia dalam laporan Mudah Menjalankan Perniagaan 2019 yang diterbitkan oleh Bank Dunia dan mengekalkan kedudukan kukuh dalam Indeks Perhubungan Global DHL (GCI), ranking kedua tertinggi di Asia Tenggara dan di temppat ke-12 dari 169 negara dalam kesalinghubungan perdagangan.

Dari segi hubungan ekonomi Malaysia-Australia, beliau berkata syarikat-syarikat Australia telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata sehingga Mac tahun ini, sejumlah 346 projek perkilangan dengan penyertaan dari Australia dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan bernilai kira-kira RM2.72 bilion.

"Penglibatan pelabur Australia sangat kukuh dalam produk kimia dan kimia, peralatan pengangkutan, produk petroleum, produk getah, jentera dan peralatan, serta produk mineral bukan logam," katanya.

Beliau berkata syarikat-syarikat Australia juga aktif dalam sektor perkhidmatan Malaysia, dan dari 2006 hingga Mac tahun ini, sejumlah 83 syarikat Australia memperoleh kelulusan untuk mewujudkan pusat serantau atau global di Malaysia seperti wakil atau pejabat serantau, ibu pejabat operasi, dan Hab Prinsipal.

"Selain penubuhan pusat global atau serantau, syarikat Australia juga terlibat dalam segmen atau sektor perkhidmatan lain seperti hotel dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata sehingga Disember tahun lepas, sejumlah 68 syarikat Australia dianugerah status Koridor Raya Multimedia (MSC), dengan 42 daripadanya sudah pun beroperasi.

Dari segi perdagangan, beliau berkata Malaysia adalah antara rakan dagang utama Australia, iaitu rakan dagang ketiga terbesar di ASEAN selepas Thailand dan Singapura.

"Bagi enam bulan pertama tahun ini, perdagangan Malaysia dengan Australia bernilai US$ 6.10 bilion (RM25.16 bilion)," katanya.

Seminar sehari bertemakan ‘Malaysia-Australia: Memanfaatkan Kerjasama, Merapatkan Peluang’,  dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sempena misi perdagangan dan pelaburan Australia dari 19 hingga 23 Ogos, yang diketuai oleh Darell.

Misi lima hari itu yang berakhir hari ini, memberikan pendedahan kepada perwakilan mengenai keupayaan pengilangan canggih Australia serta kepakaran negara itu dalam inovasi yang merupakan antara tonggak ekonominya.

Berdasarkan matamat Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh terdekat, negara ini boleh belajar daripada pengalaman Australia dan membentuk kerjasama yang dapat meningkatkan kemampuan pengeluaran negara.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]