BELURAN, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini mengumumkan projek bekalan elektrik menggunakan sistem tenaga solar hibrid bernilai RM170 juta akan dibangunkan di Sugut dan Paitan, dekat sini.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata projek itu akan memanfaatkan kira-kira 2,500 rumah melibatkan hampir 13,000 penduduk di kawasan itu yang dijangka dibangunkan tahun depan.
"Sekarang ini, projek ini dalam proses lantikan perunding dan akan dilaksanakan tahun depan.
"Projek ini mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan dan dijangka siap selewat-lewatnya tahun 2022," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan Pusat Komuniti Masyarakat Paitan daripada Yayasan Afat Rahman kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Kampung Batangon Darat dekat sini.
Rina turut maklum mengenai kadar kemiskinan yang tinggi di daerah kecil Paitan dan menghargai usaha Yayasan Afat Rahman untuk membina pusat komuniti itu untuk manfaat penduduk di kawasan itu.
Beliau berharap pusat itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan daerah kecil Paitan, sama ada melalui program pembangunan ekonomi yang dijalankan oleh kementeriannya mahupun melalui penglibatan badan-badan korporat dan gerakan komuniti seperti melalui Koperasi Petani Desa Sabah Bhd di daerah kecil itu.
"Semangat keusahawanan dalam pembangunan masyarakat yang dikongsikan oleh koperasi ini boleh dijadikan contoh kepada koperasi atau syarikat swasta lain untuk bersama-sama menyumbang tenaga kepada pembangunan masyarakat desa tanpa memikir keuntungan semata-mata," katanya.
Di samping itu, Rina turut menggalakkan masyarakat Paitan supaya terlibat dalam mempromosikan daerah kecil itu sebagai salah satu tarikan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Saya telah merasai perjalanan selama lebih kurang tiga jam melalui darat dari Sandakan ke sini (Paitan) dan melihat Sabah ini mempunyai alam semula jadi yang cantik, unik dan penuh kehijauan.
"Masyarakat di sini perlu merebut peluang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan mempromosikan ekopelancongan dan pelancongan luar bandar untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]