KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kini meningkatkan usahanya untuk mengembangkan kehadiran sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia di Afrika dengan menerajui Misi Pemecut Eksport (EAM) ke dua negara pengeluar minyak utama di rantau itu.
EAM, mengikut kenyataan oleh Matrade, secara khususnya diwujudkan untuk membantu syarikat Malaysia memanfaatkan peluang yang luas dalam sektor O&G dan tenaga di Nigeria dan Ghana.
Ia akan dianjurkan di Abuja, Nigeria mulai hari ini hingga Rabu depan dan di Accra, Ghana dari Rabu hingga Jumaat depan.
Pengarah Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga, Matrade, Jai Shankar, yang mengetuai misi itu berkata EAM akan membantu meningkatkan minat dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia dalam sektor minyak dan perkhidmatan gas serta peralatan (OGSE) untuk meneroka peluang di Afrika.
Menurutnya benua itu berpotensi untuk menjadi benua pengeluar minyak utama pada masa depan.
"Misi khusus itu sesuai untuk syarikat-syarikat Malaysia yang mencari pasaran khusus dan pasaran pertumbuhan tinggi untuk meningkatkan pendapatan eksport mereka.
"Selain itu, kebarangkalian PKS untuk mendapatkan projek dan membuka operasi di pasaran membangun adalah lebih tinggi," katanya.
Jai berkata bagi mempromosi PKS Malaysia dalam sektor OGSE, syarikat perlu menunjukkan keupayaan dan kepakaran mereka dalam menyediakan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.
Menurut Matrade, misi itu akan melibatkan enam syarikat Malaysia, yang mewakili produk dan perkhidmatan daripada pelbagai segmen dalam industri.
Selain sesi mesyuarat perniagaan yang disusun khas, syarikat-syarikat Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat dengan pemimpin industri dari syarikat-syarikat minyak milik negara Nigeria dan Ghana.
Terdapat beberapa peluang daripada usaha oleh Nigerian Petroleum Development Company untuk meningkatkan aktiviti penerokaan sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjadi pemain huluan terbesar di Nigeria, kata Matrade.
Nigerian Petroleum Development Company ialah anak syarikat Nigeria National Petroleum Corporation.
Bagi Ghana, Matrade berkata negara itu sedang giat mencari penglibatan syarikat-syarikat asing dalam sektor minyak dan gasnya, terutama dalam aktiviti huluan seperti yang ditunjukkan oleh pelancaran pelesenan luar pesisir pertamanya pada Oktober, 2018, dengan banyak syarikat O&G Malaysia aktif menceburi pasaran tersebut.
Tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan Nigeria mencatat pertumbuhan yang tinggi sebanyak 15.7 peratus kepada RM2.86 bilion, berbanding RM2.48 bilion pada 2017 manakala jumlah perdagangan dengan Ghana menunjukkan penurunan sebanyak 4.7 peratus kepada RM1.92 bilion pada 2018 berbanding RM2.01 bilion pada 2017.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]