KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- HSS Engineers Bhd (HEB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga pihak untuk membentuk konsortium bagi tujuan penyediaan dan mengemukakan cadangan bersama kepada Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk skim solar berskala besar edisi ketiga (LSS3).
Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek itu berkata MoU untuk membentuk Konsortium SHS ditandatangani dengan Sapura Secured Technologies Sdn Bhd (SSTSB), Synergy Generated Sdn Bhd (SGSB) dan Penor Renewable Energy Sdn Bhd (PRESB).
"Sekiranya cadangan bersama itu berjaya, kesemua empat pihak yang terlibat akan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini, dan menambah HEB akan memegang 28.5 peratus kepentingan dalam SPV tersebut.
Di bawah konsortium itu, pihak terlibat akan bersama-sama membina, membiayai, mereka bentuk, membekalkan, memasang, mengendalikan dan menyelenggara loji kuasa solar fotovoltaik berskala besar di Semenanjung Malaysia.
Naib Pengerusi Eksekutif HEB Tan Sri Ir Kuna Sittampalam berkata konsortium itu juga akan menawarkan kepakaran kejuruteraannya untuk memajukan sektor tenaga negara.
"Segmen tenaga boleh diperbaharui itu dijangka menyumbang kepada trajektori pertumbuhan lebih tinggi, selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjana 20 peratus daripada keperluan tenaga negara daripada sumber tenaga bersih menjelang 2025.
"Kami berharap usaha meneroka sektor kuasa ini akan memacu untuk memenuhi agenda nasional," katanya.
Menurut HEB, SSTSB terlibat dalam inovasi teknologi misi-kritikal dalam bidang maklumat dan komunikasi terjamin, menawarkan penyelesaian termasuk kejuruteraan perkakasan dan perisian, penyelidikan dan pembangunan, integrasi sistem, penyampaian perkhidmatan misi-kritikal dan pembangunan infrastruktur.
Sementara itu, SGSB dan PRESB pada dasarnya terlibat dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, dengan SGSB memberi tumpuan pada kejuruteraan, reka bentuk, pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji solar berskala besar.
Pada Februari 2019, kerajaan membuka proses pembidaan yang kompetitif untuk projek dianggarkan bernilai RM2 bilion di bawah skim LSS3 untuk meningkatkan penjanaan elektrik daripada tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]