Berita

Lynas: ketegasan kerajaan legakan rakyat, henti polemik



KUANTAN, 16 Ogos (Bernama) -- Ketegasan kerajaan dalam mewajibkan beberapa syarat dalam melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di sini, seharusnya memberi kelegaan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata ketetapan itu sudah pasti dibuat selepas kerajaan menilai semua aspek dalam operasi Lynas dan setelah mendengar pandangan pakar isu nadir bumi dan bahan radioaktif. 

Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah wajar pihak terlibat dalam isu ini memberi masa kepada Lynas untuk memenuhi syarat yang diberikan dan menghentikan segala polemik mengenai operasi kilang itu. 

"Antara syarat yang ditetapkan ialah Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) yang perlu diberi perhatian penuh oleh Lynas manakala kerajaan negeri Pahang harus dilibatkan dalam urusan ini. 

"Pastikan semua peraturan dan kajian sewajarnya termasuk kajian alam sekitar dilakukan dengan sebaiknya dengan pemantauan ketat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Andansura berkata syarat supaya pembinaan PDF mengikut standard antarabangsa dengan pemantauan oleh AELB juga seharusnya memberi kelegaan kerana menunjukkan pelaksanaannya adalah dibuat secara teliti.  

"Oleh itu, saya berharap buat masa ini, pihak yang terlibat untuk menghentikan suara tidak berpuas hati. Semua pihak sudah perlu bergerak ke depan. 

"Tindakan ini boleh memberi kesan yang besar kerana ia melibatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di sini, menyebabkan kita semua perlu mencari jalan penyelesaian dan bergerak ke depan," katanya. 

Andansura yakin kerajaan juga sudah pasti menimbangkan segala aspek yang perlu sebelum membuat keputusan yang boleh membangunkan negara, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan rakyat dan alam sekitar. 

Semalam, kerajaan mengumumkan perlanjutan lesen operasi Lynas, yang sepatutnya tamat pada bulan hadapan kepada enam bulan lagi dengan syarat yang perlu dipenuhi kilang yang berasal dari Australia itu. 

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]