Berita

Lesen operasi Lynas diperbaharui selama enam bulan dengan syarat utama



PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd diperbaharui selama enam bulan, menurut Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) hari ini. 

Sebelum ini, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 sehingga 2 September tahun ini.

Pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama. 

LPTA dalam kenyataan memaklumkan antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

"Lynas hendaklah mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara bagi tujuan memindahkan proses tersebut yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, keluar dari Malaysia,” jelas LPTA.

 Menurut LPTA, kemudahan 'Cracking and Leaching' di luar negara itu hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

"Selepas kemudahan ‘Cracking and Leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi satu ‘Becquerel’ segram di lojinya di Gebeng," maklum LPTA.

Menurut LPTA, Lynas juga perlu mengenal pasti tapak spesifik untuk pembinaan PDF dan mengemukakan kebenaran secara bertulis daripada kerajaan negeri bagi penggunaan tapak tersebut sebagai PDF.

"Pemegang lesen juga hendaklah mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan yang mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasi PDF, atau mengemukakan kebenaran rasmi secara bertulis daripada pihak berkuasa mana-mana negara untuk membawa keluar residu Water Leach Purification (WLP) ke negara tersebut," jelasnya.

Menurut LPTA, Lynas juga mesti menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai Condisoil dalam bidang pertanian.

Lynas juga perlu mengemukakan 0.5 peratus daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha penyelidikan dan pembangunan sebelum ini kepada kerajaan Malaysia sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara mula beroperasi, menurut lembaga itu.

LPTA menjelaskan syarat-syarat itu diputuskan setelah kerajaan persekutuan Australia dan kerajaan negeri Western Australia memaklumkan kepada Malaysia bahawa pihaknya tidak akan menerima penghantaran balik residu radioaktif WLP Lynas.

Syarat-syarat itu diputuskan juga adalah berdasarkan syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018, jelasnya.

"Pembinaan PDF perlu disegerakan untuk meminimumkan risiko timbunan residu radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan penstoran sementara (RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar,” kata LPTA.

Menurut LPTA, ia akan memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF mengikut piawaian antarabangsa.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]