Berita

PetChem catat keuntungan bersih rendah sedikit pada suku kedua 2019



KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) mencatatkan keuntungan bersih rendah sedikit sebanyak RM1.12 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2019, berbanding RM1.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, berikutan penurunan harga minyak mentah dan permintaan pasaran yang lemah.

Hasil susut sebanyak lapan peratus kepada RM4.34 bilion pada suku tersebut daripada RM4.73 bilion.

“Hasil lebih rendah itu disebabkan terutamanya harga produk yang lebih rendah yang sebahagiannya diimbangi oleh kuantiti jualan lebih tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar US,” kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

PetChem berkata hasil daripada segmen olefin dan derivatif turun kepada RM2.35 bilion dalam suku kedua 2019 daripada RM2.75 bilion dalam suku kedua 2018, manakala baja dan metanol susut kepada RM1.98 bilion daripada RM2.00 bilion sebelumnya.

Kedua-dua segmen itu rendah disebabkan penurunan harga produk, sebahagiannya diimbangi oleh kuantiti jualan tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar US, kata syarikat tersebut.

Selain itu, PetChem berkata keputusan daripada operasinya dijangka dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global, pergerakan kadar tukaran asing, kadar penggunaan kemudahan pengeluarannya dan harga produk petrokimia, yang mempunyai hubung kait tinggi dengan harga minyak mentah, khususnya bagi segmen olefin dan derivatif.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami adalah bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan loji dan ketersediaan bahan mentah serta bekalan utiliti yang mencukupi.

“Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan hubungan pembekalnya untuk mengekalkan tahap penggunaan loji di atas paras penanda aras industri,” kata syarikat itu.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]