TAWAU, 12 Ogos (Bernama) -- Jumlah pekebun kecil kelapa sawit di Sabah yang mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) masih rendah akibat kekangan termasuk tidak mengetahui kewujudan perkara itu serta kecewa dengan harga komoditi itu yang rendah, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.
Menurutnya, setakat 30 Jun lepas, hanya 46 peratus atau 10,303 hektar daripada jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian sebanyak 223,000 hektar di Sabah, telah memperoleh sijil MSPO berkenaan.
"Saya ingin memaklumkan pekebun kecil bahawa kos mendapatkan pensijilan MSPO adalah dibiayai kerajaan sehingga akhir tahun ini. Anda hanya perlu tampil untuk membuat permohonan sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat MSPO dan sesi dialog bersama penanam sawit Sabah di sini, hari ini.
Kok turut meminta bantuan persatuan berkaitan di negeri itu untuk memaklumkan 267 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana tanaman sawit agar tampil mendapatkan MSPO.
Jelas beliau, kerajaan sebenarnya turut berusaha menangani harga rendah itu seperti bekerjasama dengan pihak swasta untuk meninjau dan membuka pasaran baharu.
"Saya juga akan ke beberapa negara Afrika, Jepun, Eropah dan Vietnam dalam beberapa bulan lagi untuk bertemu dengan pembeli dan pengimport minyak sawit," katanya.
Selain itu, pihaknya turut berbincang dengan syarikat petroleum untuk menaik taraf depoh penyimpanan diesel B20 iaitu adunan 20 peratus biodiesel sawit dengan 80 peratus petroleum diesel.
Beliau juga mencadangkan Sabah sebagai negeri pertama pelaksanaan program diesel B20 dan berharap usaha menaik taraf depoh itu dapat direalisasikan menjelang Jun depan.
"Jika B20 dapat dilaksanakan di Sabah, kita akan menggunakan lebih minyak sawit sekali gus meningkatkan harga minyak sawit negara," katanya.
Mengulas isu diskriminasi Kesatuan Eropah (EU) terhadap komoditi itu, beliau berkata kerajaan menerusi Jabatan Peguam Negara kini sedang membuat persediaan untuk membangkitkan keengganan blok negara itu mengimport minyak sawit, kepada pihak Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Ini susulan hasil perbincangan Malaysia dengan Indonesia menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]