Berita

Syarikat Malaysia disaran teroka peluang eksport dan pelaburan di Madagascar

Oleh Nurunnasihsh Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) – Syarikat-syarikat Malaysia perlu mempertimbangkan secara serius untuk melabur di Madagascar, sebuah negara pulau yang terletak di Lautan Hindi memandangkan ia memiliki banyak potensi yang belum diterokai.

Menurut Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia Madagascar Prof Dr Abdul Kabur Ibrahim, antara sektor yang sesuai bagi pelaburan Malaysia adalah tenaga solar, pembinaan, infrastruktur, perkhidmatan dan pelancongan.

Negara yang terletak kira-kira 400km dari Pantai Afrika Timur itu berhasrat untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharunya kepada 85 peratus menjelang 2030.

Pulau keempat terbesar di dunia itu juga merancang untuk membina sebuah bandar yang serupa seperti Putrajaya.

"Jadi, terdapat banyak perkhidmatan yang diperlukan mereka seperti bangunan infrastruktur, pembangunan hartanah serta pembinaan jalan raya, malahan mereka juga berminat dengan kereta api. Saya fikir Malaysia mempunyai semua kepakaran ini dan kita boleh menawarkan perkhidmatan tersebut.”

“Terdapat banyak pembangunan yang sedang berlaku di Madagascar dan mereka mahu memberikan keutamaan kepada Malaysia supaya datang dan menyertai mereka, tidak semestinya untuk melabur tetapi sebagai rakan kongsi dengan syarikat tempatan di sana," katanya kepada Bernama.

Abdul Kabur berkata, syarikat Malaysia juga perlu meneroka peluang-peluang dalam sektor eksport, walaupun kedua-dua negara pada masa sekarang tidak mempunyai pautan perdagangan secara langsung.

Sekarang ini, eksport Malaysia ke Madagascar adalah melalui negara-negara Eropah dan ini telah menyebabkan harga produk berkenaan menjadi lebih mahal.

"Produk eksport yang berpotensi adalah penjagaan kesihatan, produk makanan, perubatan, bahan binaan, jentera kecil dan pertanian serta produk berasaskan minyak sawit, getah dan lain-lain produk berasaskan komoditi.

"Selain itu, syarikat Malaysia juga boleh membuat penempatan semula atau membuka cawangan kilang di Madagascar, ini akan membuka peluang penembusan ke negara-negara Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat kerana ketiadaan duti," katanya. 

Madagascar berkeluasan 587,041 kilometer persegi tetapi hanya 20 peratus daripada bahagian pulau itu yang didiami kira-kira 28 juta penduduk, ini menunjukkan pulau berkenaan mempunyai kawasan yang luas dan tidak berpenghuni yang boleh dibangunkan ke dalam pelbagai industri.

Abdul Kabur yang akan mengetuai misi perdagangan Malaysia ke Madagascar pada 13 hingga 17 Okt depan, menjelaskan bahawa negara pulau itu pernah menarik beberapa pelabur Malaysia di awal tahun 90-an, tetapi mereka kemudian, menarik keluar pelaburan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. 

"Dalam misi akan datang, kita akan cuba membawa pengeksport Malaysia untuk  berjumpa terus dengan pembeli Madagascar, kita juga akan buat pemadanan perniagaan, supaya mereka boleh membeli secara terus tanpa perlu melalui pihak ketiga.

“Kita mempunyai matlamat untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia. Apabila kita bercakap tentang perkhidmatan, ini bermakna, kita mahu mengambil bahagian dalam projek-projek pembangunan mereka," katanya.

Kata beliau lagi, setakat ini, kira-kira 20 syarikat telah menunjukkan minat untuk menyertai misi perdagangan ke Madagascar dan menambah bahawa majlis itu menetapkan sasaran untuk membawa 30 perniagaan Malaysia daripada pelbagai industri.

-- BERNAMA​​​​​​





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]