Berita

TNB disusun semula dengan segmen peruncitan dan tenaga diselia berasingan



KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah meluluskan pelan penyusunan semula yang menyebabkan kewujudan dua syarikat pegangan, masing-masing bagi menguruskan perniagaan penjanaan tenaga domestik dan peruncitan elektrik.

Melalui langkah yang dijangka selesai menjelang suku ketiga 2020, perniagaan penjanaan tenaga akan diletakkan di bawah anak syarikat baharu milik penuh TNB yang akan diperbadankan (GenCo) manakala perniagaan runcit akan diuruskan di bawah satu lagi unit baharu milik penuh yang turut akan diperbadankan (RetailCo), katanya.

"Setiap entiti perniagaan akan berada di bawah seliaan satu pasukan lembaga pengarah dan pengurusan yang berasingan. Ini adalah sejajar dengan pelan transformasi strategik TNB, Reimagining TNB, yang bertujuan bagi menyediakan TNB ke arah pembaharuan dalam industri bekalan elektrik di Malaysia," kata firma utiliti itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penubuhan entiti perniagaan serta pasukan pengurusan yang berasingan itu akan menyediakan fokus yang lebih baik, seterusnya, meningkatkan kecekapan, keterampilan dan prestasi segmen perniagaannya. 

TNB juga akan menjadi lebih kukuh bagi bersaing dalam jangkaan pasaran elektrik yang akan berubah.

"Pengasingan perniagaan yang dikawal selia dan tidak dikawal selia melalui penubuhan GenCo dan RetailCo akan menyediakan pemegang saham TNB dengan ketelusan yang lebih tinggi ke atas operasi perniagaan serta prestasi kewangan kesemua subsidiari," dikatakan.

TNB akan memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dan perjanjian pembelian aset bersyarat, masing-masing dengan GenCo serta RetailCo untuk memindahkan aset, liabiliti dan perniagaan yang berkaitan dengan perniagaan mereka.

Selepas pemindahan diselesaikan, aktiviti-aktiviti utama GenCo akan membabitkan pemilikan, pengurusan dan operasi loji-loji janakuasa domestik, perniagaan penjanaan tenaga boleh diperbaharui, operasi loji janakuasa serta perniagaan penyelenggaraan dan perniagaan operasi terminal pukal kering.

Mengenai RetailCo pula, aktiviti utamanya merangkumi penjualan tenaga elektrik kepada pelanggan,  pengumpulan hasil daripada pelanggan, perkhidmatan pelanggan, operasi pusat pengurusan panggilan termasuk menyediakan perkhidmatan penyelesaian tenaga hijau dan perkhidmatan penyelesaian pemeteran.

Pertimbangan cadangan bagi aset dan liabiliti di GenCo adalah nilai bawaan bersih  aset dan liabiliti yang direkodkan oleh TNB dalam lembaran imbangan tidak diaudit membabitkan perniagaan penjanaan sehingga pada 1 Julai 2020 atau pada satu tarikh lain yang akan ditentukan oleh TNB. Bagi RetailCo, pertimbangan cadangan adalah didasarkan kepada nilai bawaan bersih lembaran imbangan perniagaan runcit yang tidak diaudit semasa tarikh pemindahan.

Sebagai gambaran, cadangan pertimbangan bagi aset serta liabiliti GenCo adalah sebanyak lebih kurang RM12.14 bilion, berdasarkan kepada nilai bawaan bersih dalam lembaran imbangan tidak diaudit proforma perniagaan penjanaan sehingga pada 31 Dis 2018. 

Sementara itu, pertimbangan cadangan bagi aset dan liabiliti RetailCo adalah kira-kira RM1.84 bilion berdasarkan kepada nilai bawaan bersih dalam lembaran imbangan tidak diaudit proforma perniagaan RetailCo sehingga pada 31 Disember 2018. 

“Cadangan penyusunan semula itu dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan termasuk pendapatan dan perolehan sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019,” kata TNB.

-- BERNAMA  


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]