KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk menerima dan mengiktiraf skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai satu daripada skim sukarela di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED II) bagi pensijilan penggunaan perubahan guna tanah secara tidak langsung yang rendah bagi bahan api bio dan biocecair.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata industri minyak sawit di Malaysia komited dalam menghasilkan minyak sawit selaras dengan skim pensijilan MSPO yang akan dilaksanakan secara mandatori menjelang 31 Dis, 2019.
Menurut kenyataan itu, Malaysia komited sepenuhnya untuk berunding secara konstruktif bagi memastikan layanan tanpa diskrimasi ke atas produk minyak sawit dan mengelakkan sekatan untuk akses pasaran produk sawit ke EU.
“Malaysia telah berulang kali menyuarakan kebimbangannya dalam platform Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sejak 2018 dan usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan.
“Kebimbangan Malaysia juga turut disokong oleh negara pengeluar minyak sawit utama seperti Indonesia, Colombia, Guatemala, Honduras dan Ecuador," menurut kementerian itu.
MITI juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Industri Utama (MPI) untuk memanfaatkan sepenuhnya dan menggunakan pelbagai platform WTO dan antarabangsa demi kepentingan pengeksport minyak sawit dan pekebun kecil.
“Malaysia juga akan mempertimbangkan isu ini untuk dibawa ke mekanisme penyelesaian pertikaian di bawah WTO pada masa depan.
“Selain itu, kerajaan juga akan terus mengkaji inisiatif bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam biodiesel di pasaran domestik sebagai alternatif sekiranya eksport minyak sawit ke pasaran EU terjejas akibat pelaksanaan EU RED II,” kata kementerian.
Bagi sektor pengangkutan, Malaysia telah melaksanakan program biodiesel B10 sejak Februari 2019.
MITI dan MPI bekerjasama ke arah melaksanakan cadangan penggunaan biodiesel B20 pada 2020 dan B30 pada 2025 atau lebih awal.
Menurut MITI, Malaysia sekali lagi menyuarakan kebimbangannya terhadap sekatan penggunaan minyak dalam bahan api bio oleh Suruhanjaya Eropah dalam mesyuarat-mesyuarat WTO yang diadakan pada Mei hingga Jun 2019.
Mesyuarat tersebut disertai Jawatankuasa Perdagangan dalam Alam Sekitar pada 5 Mei, Jawatankuasa Halangan Teknikal Kepada Perdagangan pada 20 hingga 21 Jun dan Mesyuarat Majlis Perdagangan Barangan pada 8 hingga 9 Julai.
Akta Perwakilan bagi pelaksanaan EU RED II untuk tahun 2021-2030 akan mengenakan syarat ketat terhadap penggunaan tanaman sebagai bahan api bio dimana tanaman tersebut menyumbang kepada perluasan tanah ke kawasan hutan hujan, tanah lembap dan tanah gambut.
Ini ditafsirkan sebagai perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang mana tanaman yang dikategorikan sebagai mempunyai ‘risiko ILUC yang tinggi’ akan dihadkan menjelang tahun 2030.
Minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai ‘risiko ILUC yang tinggi’ dalam Akta Perwakilan itu dan ini merupakan satu bentuk langkah halangan perdagangan kepada minyak sawit," menurut MITI.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]