Berita

TNB, DBKL kaji usaha sama dalam tenaga boleh baharu



KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) --  Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menimbang memasang panel solar di bumbung-bumbung bangunannya dengan bantuan Tenaga Nasional Bhd (TNB), selari inisiatif Pelan Tindakan Masyarakat Karbon Rendah Kuala Lumpur 2030.

TNB berkata anak syarikat milik penuhnya, TNBX Sdn Bhd, baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang tidak mengikat, untuk tiga tahun dengan DBKL dalam usaha sama yang berpotensi itu.

"Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan usaha sama ini, DBKL akan mendapat manfaat daripada bekalan elektrik bersih pada kos sifar pendahuluan, dengan TNB membuat pelaburan, mereka bentuk dan menyelenggara sistem solar fotovoltan (PV) sepanjang kontrak 20 hingga 25 tahun.

"DBKL akan dibilkan untuk bekalan elektrik yang dijana daripada panel solar pada kadar yang lebih rendah berbanding tarif biasa elektrik TNB. DBKL juga boleh menjual lebihan tenaga yang ada kepada TNB menerusi Skim Meter Tenaga Bersih," menurut syarikat utiliti negara itu dalam kenyataan.

Menurut TNB MoU itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pengurusan tenaga di Malaysia, dan menyokong usaha negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dalam keluaran dalam negara kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

MoU itunjuga merangkumi promosi teknologi hijau dengan memberi tumpuan kepada kesedaran dan capaian awam, pelaksanaan revolusi industri 4.0 dan penyelesaian bandar pintar, mengoptimum pengurusan aset, dan inisiatif penyelidikan yang berterusan dalam teknologi tenaga boleh baharu.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan TNBX, Ir. Nirinder Singh Johl manakala DBKL diwakili oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Nor Hisham, dalam ucapannya menyuarakan keyakinan beliau bahawa MoU itu berpotensi untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap teknologi hijau, terutama dalam solar PV, ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"Kami tidak sabar untuk merealisasikan Rangka Tindakan Masyarakat Karbon Rendah Kuala Lumpur 2030," katanya.

Sementara itu, Nirinder menyifatkan MoU itu tepat pada masanya kerana ia akan membuka pintu dan peluang kepada TNB untuk mengurangkan jejak karbon di bandar melalui penyelesaian solar  dan pengurusan tenaga.

"Kami berharap pemasangan sistem solar PV akan memberi peluang kepada penduduk Kuala Lumpur untuk lebih berfikiran terbuka terhadap teknologi baharu dan pendekatan cekap tenaga," katanya.

TNB menandatangani MoU yang sama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Mac tahun ini.

Syarikat itu menyasarkan untuk menjana 1,700 megawatt tenaga boleh baharu pada 2025 selaras sasaran kerajaan untuk menjana 20 peratus tenaga elektrik melalui sumber tenaga boleh baharu menjelang 2030.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]