Berita

Dr Mahathir pelawa syarikat Turki melabur dalam tiga sektor utama Malaysia



Oleh Kamarul Ariffin Md Yassin

ISTANBUL, 26 Julai (Bernama) -- Firma Turki boleh melabur atau menjalinkan perkongsian dengan rakan perniagaan tempatan dalam tiga sektor utama di Malaysia iaitu aeroangkasa, automotif serta jentera dan kelengkapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata bagi sektor aeroangkasa, Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai negara aeroangkasa terkemuka di ASEAN dan memanfaatkan pasaran global pada 2030.

“Berasaskan sasaran ini, kami telah mengenal pasti bidangnya seperti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih selain pembuatan, penyepaduan sistem serta perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Turki dalam bidang seperti kejuruteraan pesawat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Meja Bulat dengan Peneraju Industri Turki di sini, pada Jumaat.

Dalam sektor automotif pula, Dr Mahathir berkata Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi hab kenderaan cekap tenaga, justeru itu, beliau mempelawa syarikat Turki ke arah mewujudkan usaha sama bagi tujuan tersebut.

“Inisiatif ini akan mendorong kepada pemuliharaan alam sekitar, menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi, pemindahan teknologi dan mewujudkan perniagaan bagi syarikat tempatan,” katanya 

Bagi sektor jentera dan kelengkapan, Perdana Menteri berkata industri berkenaan di Malaysia adalah antara yang terbesar di ASEAN, dengan keupayaan menyediakan pelbagai perkhidmatan berkualiti dan berkelas dunia.

“Malaysia mengalu-alukan syarikat dari Turki untuk melabur atau bekerjasama dengan firma Malaysia yang berkeupayaan dan berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang melaksanakan usaha transformasi besar-besaran dalam ekonomi dan kerajaan akan meneruskannya.

Malaysia turut mengekalkan dasar menyokong perniagaan dan berhemat bagi memastikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk perniagaan asing yang mahu mengembangkan dan mempelbagaikan operasi sedia ada mereka, katanya

 Dr Mahathir juga memberitahu pelabur asing yang berpotensi bahawa pelaburan di Malaysia akan menjadi pintu masuk ke rantau ASEAN yang luas 

“Apabila anda memikirkan tentang Malaysia, silalah juga memikirkan mengenai ASEAN, kumpulan 10 negara di Asia Tenggara yang mempunyai 650 juta penduduk,” katanya.

Semasa sesi dialog, beliau yang kagum dengan kecanggihan produk pertahanan keluaran Turki berkata Malaysia mahu bekerjasama dengan Turki untuk membangunkan produk sedemikian di samping membantu negara ini memasarkannya ke ASEAN.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan untuk menjadi pusat aktiviti perniagaan di Asia Tenggara.

Kerajaan Malaysia juga mahu mengurangkan kebergantungan dengan minyak sawit dan akan memikirkan tanaman lain untuk mempelbagaikan sumber ekonomi, katanya.

Dr Mahathir turut menekankan kepentingan industri halal dan kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk memajukan lagi industri tersebut.

“Industri makanan menunjukkan perkembangan pesat terutama dalam sektor halal dan kita seharusnya meneliti perkara ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank selain Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Dr Mahathir berada dalam rangka lawatan rasmi ke Turki sejak Rabu.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]