Berita

Industri solar mampu wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan



SHAH ALAM, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yakin lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui industri solar di negara ini pada masa depan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata sehingga kini, lebih 54,300 rakyat di negara ini bekerja dalam industri itu dan merupakan jumlah yang tertinggi di rantau Asia.

"Seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan tenaga solar yang mampan, kita berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri ini.

"Mengikut rekod, lebih 54,300 pekerja terlibat dalam bidang berkaitan industri solar sejak 2011 hingga kini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Malaysia's Largest Rooftop Solar Photovoltaic (PV) Project Under The Net Energy Metering (NEM) Scheme: 2.5 MV PV System oleh Goodyear Malaysia Bhd di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia Ir. Dr. Sanjayan Velautham, Pengerusi SEDA Wong Kah Woh dan Pengarah Operasi Pembuatan Asia Pasifik Goodyear Tire & Rubber Company Ramon Le.

Mengulas lanjut, Yeo berkata industri solar pada masa ini tidak hanya bertumpu kepada pemasangan panel solar di bangunan komersial tetapi juga di premis kilang.

"Seperti yang dilaksanakan oleh Goodyear iaitu memasang panel solar di kilang mereka bagi tujuan mengurangkan jejak karbon sekali gus memastikan masa depan yang lebih mesra alam.

"Langkah ini juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik," katanya.

Sementara itu, Ramon berkata pihaknya telah memasang kira-kira 6,680 panel solar yang disambungkan kepada enam substesen bervoltan rendah yang mampu menjana 2.5 megawatt bukan sahaja untuk kilang pembuatan tetapi juga mampu menyalurkan tenaga tersebut kepada pejabat dan gudang.

Beliau berkata setiap panel diperbuat daripada Bifacial Monocrystalline PERC Double Glass Solar Module 375W, dan secara keseluruhannya mampu mengurangkan 1.98 juta kilogram pelepasan karbon setahun selama 25 tahun.

Program NEM adalah sistem PV solar dan merupakan inisiatif kementerian itu untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai program NEM boleh didapati dalam laman sesawang http://www.seda.gov.my/reportal/nem/

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]