Berita

Kertas siasatan kesalahan TNB kini di Jabatan Peguam Negara



BANGI, 23 Julai (Bernama) -- Kertas siasatan berhubung kesalahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam insiden bil pengguna melambung pada Mei lepas sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk maklum balas, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

"Kertas siasatan telah disiapkan dua minggu selepas insiden kenaikan bil pengguna TNB berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Low Carbon Cities 2030 Challenge di Greentech Malaysia di sini hari ini.

Pada Mei lepas, sebahagian pengguna TNB mengadu bil elektrik masing-masing melambung berlipat kali ganda berbanding jumlah yang lazim dibayar setiap bulan.

Susulan itu, Yeo dilaporkan berkata TNB ada melakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

TNB pada 31 Mei juga mengakui berlaku gangguan dalam sistem pengebilan mereka yang menyebabkan segelintir pengguna menerima bil yang tinggi.

Ditanya jumlah penalti yang bakal dikenakan ke atas TNB, Yeo berkata: "Kita (kementerian) hendakkan (penalti) tinggi. Tengoklah macam mana."

Mengenai Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030, Yeo berkata ia menyasarkan untuk menubuh dan menetapkan 200 zon rendah karbon di seluruh negara menjelang 2030 dan sekurang-kurangnya 1,000 rakan bandar rendah karbon bekerjasama ke arah masa depan yang rendah karbon.

Beliau berkata matlamat untuk cabaran sedemikian ialah mengurangkan jumlah keseluruhan pelepasan karbon dari bandar-bandar di Malaysia sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Yeo berkata zon rendah karbon ini akan mengurangkan pelepasan daripada penggunaan tenaga dan air dari bangunan dan kawasan umum; daripada penggunaan petrol dan diesel pada kenderaan persendirian dan daripada sampah-sarap dari tapak pelupusan sampah.

Mereka yang berjaya dalam cabaran itu akan dianugerahkan pengiktirafan berlian oleh kementerian dan berpeluang menyertai pelbagai program berkaitan rendah karbon, katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]