Berita

Adam, robot humanoid versi Malaysia



Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri and Hafzi@Hasani Mohamed

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Sophia, robot humanoid sosial, yang mencuri perhatian ramai dua hari lepas dan malah turut berinteraksi dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berdebat dengan jaguh debat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Sophia yang dihasilkan oleh syarikat Hanson Robotics berpangkalan di Hong Kong yang diperkenalkan pada 2016, membuat penampilan dua hari pada sidang kemuncak, Beyond Paradigm Summit 2019, mempamerkan teknologi terkini yang menghimpunkan idea utama pendigitalan dan pertukaran data yang merangkumi Revolusi Industri 4.0.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui termasuk Sophia sendiri, bahawa Malaysia juga mempunyai robot humanoid yang canggih bernama ADAM.

Menyerupai karakter watak adiwira Marvel, iaitu gabungan dua warna - hitam di bahagian kepala dan merah menutupi muka, ADAM adalah akronim bagi Advanced Development Autonomous Machine dibangunkan Robopreneur Sdn Bhd, syarikat robotik tempatan berpangkalan di Cyberjaya. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Dr Hanafiah Yussof berkata ADAM pertama kali diaktifkan pada Mac 2019 selepas satu tahun menjalani penyelidikan, pembangunan dan kerja prototaip, justeru mendakwa ADAM adalah robot humanoid Malaysia yang pertama dihasilkan. 

Robot humanoid seberat 44kg itu mempunyai 22 pergerakan anggota badan dari pinggang hingga ke kepala termasuk pergerakan jari, malah ADAM juga mempunyai kapasiti untuk berinteraksi dengan manusia menggunakan  sistem pengesanan suara menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Jadi idea membangunkan robot humanoid sebenarnya satu daripada inisiatif menyumbang kepada visi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kerana pembangunan humanoid sebenarnya melibatkan perkembangan teknologi itu sendiri, seperti reka bentuk robot, pengkomputeran termaju, penderiaan dan AI, antara komponen terpenting dalam IR4.0.

“Ini sebenarnya merupakan projek selama lima tahun tetapi kini kami telah menyelesaikan fasa pertama projek ini iaitu dalam tempoh setahun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sidang kemuncak Beyond Paradigm Summit, di sini baru-baru ini.

Hanafiah berkata ADAM akan siap sepenuhnya dalam tiga fasa, iaitu fasa pertama telah pun selesai dan fasa kedua pula memberi tumpuan aspek pembangunan badan keseluruhan.

Fasa ketiga lebih menjurus ke arah memperkasakan algoritma pembelajaran mesin supaya robot mempunyai keupayaan untuk berucap secara lebih natural, pengesanan emosi dan visual.

“Bagi tahap ketiga juga, kami akan lengkapkan robot dengan lebih banyak ciri manusia seperti pemasangan kulit.

“Kami berharap pada masa itu robot ini akan mempunyai wajah Malaysia, jadi ia akan menjadi ikon Malaysia,” kata Hanafiah sambil tersenyum apabila ditanya adakah wajah ADAM kacak seperti Sophia yang menawan.  

Beliau berkata syarikat itu juga merancang untuk memasarkan ADAM, kerana ia menawarkan platform sedia bagi pengembangan AI dan mesin pembelajaran, menjadikannya sesuai sebagai platform penyelidikan dan pembangunan selanjutnya ke arah mewujudkan robot penjagaan kesihatan dan sosial yang berfungsi dalam persekitaran manusia.  

"Saya percaya jika anda mahu menceburi industri Kecerdasan Buatan yang besar, kita perlu mengambil tindakan sekarang dan saya percaya jika kita mempunyai pasukan yang hebat, pembiayaan yang mencukupi dan pelan pelaksanaan projek yang baik, kita tidak jauh di belakang China, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya.

--  BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]