Dr Mohamed Ackiel Mohamed.
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Serba Dinamik Group Bhd, pembekal pakej penyelesaian penyelenggaraan serta kejuruteraan industri telah membangunkan satu sistem yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dan realiti bercampur yang mampu meningkatkan putaran hasil sesebuah kilang.
Menurut Naib Presiden untuk Projek Khas Dr Mohamed Ackiel Mohamed, sistem yang dipanggil 'Penyelenggaraan Pintar dengan Realiti Bercampur' itu mampu membantu mana-mana industri membuat analisa sistem penyelenggaraan melalui AI bagi mengurangkan penyelenggaraan yang tidak dirancang.
Sistem itu membantu menyelesaikan masalah dengan lebih cekap melalui sudut pandangan data 360 darjah berasaskan konteks.
"Sistem ini dilengkapi dengan AI yang sangat pintar yang mampu mengumpukan data kajian kes komponen yang lepas tanpa mengira jenama atau jenis model peralatan.
Ianya juga akan membolehkan industri menguruskan tenaga buruh serta meningkatkan kepakaran mereka yang menggunakan sistem itu.
"Anda (industri) akan mampu menguruskan alat ganti dan gudang serta memantau peralatan sepanjang proses dan selepasnya," kata beliau kepada Bernama semasa di Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019 yang dianjurkan oleh Serba Dinamik Holdings Bhd di sini hari ini.
Syarikat itu yang mempunyai operasi antarabangsa, menyediakan pakej penyelesaian kejuruteraan dan penyelenggaraan yang menyeluruh kepada pelbagai industri, termasuk tenaga, keluli, minyak dan gas, petrokimia serta industri yang berkaitan.
Ackiel berpendapat Malaysia masih jauh ketinggalan dalam pendigitalan kilang dan berharap Serba Dinamik akan menjadi pemangkin dalam segmen tersebut.
Katanya, sistem berkos kira-kira US$3 juta hingga US$ juta itu (RM12.4 juta sehingga RM16.5 juta), telah dibangunkan sejak Ogos 2018 dan ianya sudah mula dijual.
Sekarang ini, Serba Dinamik sedang bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi memudahkan peserta industri menggunakan sistem tersebut untuk meningkatkan kelicinan operasi.
"Terdapat syarikat-syarikat dari pelbagai industri termasuk pembuatan, minyak & gas serta pengangkutan, yang telah menunjukkan minat mereka dalam menggunakan perisian ini. Ianya kini tersedia untuk dijual kepada mereka yang berminat," kata beliau lagi.
Sidang kemuncak hari ini memperkenalkan peserta kepada teknologi yang canggih merangkumi industri tenaga, penjagaan kesihatan, pembuatan, kewangan, pendidikan, telekomunikasi dan pengangkutan.
Ia memaparkan bagaimana teknologi hari ini boleh memacu daya saing melalui proses-proses nilai tambah seperti pendigitalan, pembuatan termaju dan penggunaan sumber yang cekap.
Acara selama dua hari itu yang bermula semalam, telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia turut menampilkan robot Sophia yang telah diprogram untuk bersosial, ia telah dibangunkan oleh Hanson Robotics dari Hong Kong.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]