Berita

Malaysia hadapi risiko hilang bakat dalam IR4.0 - Tun M



KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia berisiko hilang potensi inovasi baharu daripada bakat semula jadi dalam negara yang belum diteroka, jika industri tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tidak mengguna pakai Industri 4.0 (IR4.0) serta kemajuannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri juga menggesa industri berkembang dan berinovasi selari dengan keperluan IR4. 0.

"Revolusi Perindustrian Keempat akan mengubah jenis kerja yang diperlukan dalam industri. Kami berpendirian bahawa sebagai sebuah negara, kita mesti mewujudkan pekerjaan untuk masa depan.

"Matlamat kami adalah untuk mengautomasikan kerja, tetapi menginsankan pekerjaan. Biarkan mesin melakukan kerja berbahaya dan berulang, dan memastikan manusia mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kreativiti, empati dan interaktif," katanya dalam ucapannya pada Beyond Paradigm Summit 2019 di sini.

Oleh itu Dr Mahathir berkata, tindak balas segera perlu bagi membolehkan Malaysia mewujudkan, mengguna pakai dan mengintegrasikan penyelesaian teknologi tersendiri untuk mentransformasikan tenaga kerja dan industri.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya inovasi teknologi dalam rangka kerja ekonomi Malaysia, hubungan simbiotik perlu dijalin antara agensi kerajaan dan sektor swasta yang relevan, katanya.

"Kami gembira melihat  Serba Dinamik  IT Solutions menjadi peneraju untuk memulakan aktiviti ini bagi menggerakkan dan memandu arah perniagaan dalam opsyen digital," katanya.

Dr Mahathir juga menggesa PKS dan perniagaan tempatan supaya berada di barisan hadapan transformasi digital untuk terus menarik pelabur dan berdaya saing dalam skala global.

Beliau berkata anjakan paradigma dalam kalangan PKS, terutama dalam inovasi dan penyelesaian kreatif, penting untuk mendorong pergerakan industri perkilangan, memandangkan ia melibatkan 98.5 peratus syarikat pembuatan dan 42 peratus pekerjaan.

"Untuk mewujudkan ekosistem Industri 4.0, kedua-dua pemimpin industri dan pembekal bakat perlu memahami sepenuhnya dan mengguna pakai teknologi pengganggu ini. Buat masa ini, mereka wajib menerima pakai dan seterusnya perlu menguasai teknologi berkenaan," katanya.

Menurut Dr Mahathir, walaupun semua gangguan teknologi yang mengancam pekerjaan tradisional, kerajaan bertekad untuk mewujudkan masa depan Malaysia yang adil dan berperikemanusiaan, disokong oleh kemakmuran bersama.

"Selain itu, 65 peratus anak-anak yang kini dalam pendidikan rendah, diunjurkan akan bekerja dalam pekerjaan yang tidak wujud hari ini.

"Memandangkan 70 peratus tenaga kerja hari ini terdiri daripada lulusan SPM, meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dari semua peringkat umur sangat penting dalam memastikan kejayaan dalam landskap ekonomi kita untuk tahun-tahun akan datang," katanya.

Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019 itu dianjurkan oleh  Serba Dinamik  Holdings Bhd.

Sidang kemuncak dua hari yang bertemakan ‘Mewujudkan Penyelesaian Digital Tersendiri’ itu mempamerkan teknologi canggih yang merangkumi idea teras automasi dan pertukaran data IR4.0.

-- BERNAMA  





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]