Berita

Tiada kenaikan tarif elektrik hingga Disember - Yeo



KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Tiada kenaikan tarif elektrik bagi semua kategori pengguna elektrik domestik ataupun komersial dan industri untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Beliau berkata berdasarkan mekanisme ‘Imbalance Cost Pass Through’ (ICPT), kos bahan api dan peningkatan kos penjanaan lain yang perlu dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh sama berjumlah RM1.592 bilion melalui surcaj kepada pengguna, iaitu peningkatan sebanyak 0.39 sen/kwj. 

Bagaimanapun, katanya untuk mengurangkan beban rakyat serta pihak komersial dan industri, kerajaan mengambil pelbagai langkah dengan mengurangkan kos yang perlu dilepaskan kepada pengguna.

"Kementerian melalui Suruhanjaya Tenaga telah membuat pelarasan ke atas hasil dan kos elektrik pada tahun 2018 dan 2019 di bawah ‘Incentive-Based-Regulation’ (IBR) berdasarkan peruntukan ‘Regulatory Implementation Guidelines’ (RIGs) dan berjaya mendapatkan jumlah penjimatan sebanyak RM336.70 juta.

"Kementerian juga mendapat kelulusan Kabinet untuk menyumbang subsidi kepada tarif elektrik melalui peruntukan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sebanyak RM107.16 juta," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Yeo menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang ingin tahu adakah kerajaan mengkaji semula tarif elektrik baharu berikutan pergerakan harga arang batu dan gas di pasaran antarabangsa yang merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Yeo berkata meskipun harga pasaran bahan api mengalami penurunan kebelakangan ini, namun penetapan ICPT bagi Julai hingga Disember ini adalah berdasarkan harga purata bahan api bagi tempoh Januari hingga Jun lepas.

Beliau berkata kementerian itu sedang merangka Akta Kecekapan dan Konservasi sebagai langkah penggunaan tenaga dengan cekap sekali gus dapat menurunkan penggunaan elektrik dan menjimatkan bil elektrik.

Katanya satu sesi libat urus dan perbincangan dengan Ahli-ahli Parlimen akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai akta tersebut.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]