Berita

Dobi layan diri tidak mendapat kelulusan ST terdedah risiko letupan



Oleh Norshazlina Nor Azman

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Kira-kira 2,000 dobi layan diri di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah mungkin terdedah dengan bahaya letupan ekoran tidak mempunyai kelulusan dan lesen pengoperasian gas daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Timbalan Pengarah Pepasangan dan Peralatan Gas ST, Ir Shamsuddin Arshad berkata setakat ini hanya 427 dobi layan diri direkodkan mempunyai lesen berkenaan dan berdaftar di bawah ST. 

Di bawah Akta Bekalan Paip 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, mana-mana premis yang menggunakan sistem gas berpaip terutamanya gas petroleum cecair perlu mendapatkan kelulusan dan lesen yang sah daripada ST sebelum beroperasi.

Bercakap kepada Bernama, Shamsuddin menegaskan para pengusaha seharusnya mengambil iktibar daripada insiden letupan gas di premis dobi layan diri tahun lepas, yang menyebabkan kematian dalam dua kes yang dilaporkan.

"Tahun lepas ada dua kes kemalangan gas yang telah dilaporkan kepada ST iaitu pada 11 April di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur yang mengorbankan seorang pelanggan wanita dan pada 4 Okt yang mengakibatkan dua beranak terbakar tubuh badan sebelum si bapa meninggal dunia.

"Kedua-dua kemalangan itu berpunca daripada kebocoran pada pepasangan sistem gas berpaip yang tidak mendapat kelulusan dan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh ST," katanya.

Sarawak tidak tertakluk di bawah bidang kuasa kawal selia ST dan tidak diliputi Akta Bekalan Elektrik 1990 selain mempunyai agensi sendiri bagi mengawal selia mengenai pembekalan elektrik.

Menjelas lanjut, Shamsuddin berkata tidak seperti premis dobi konvensional yang menggunakan tenaga elektrik untuk proses pengeringan, dobi layan diri menggunakan gas bagi menjimatkan kos.

"Dalam tiga, empat tahun ini dobi layan diri tumbuh seperti cendawan...sebelum ini kami tidak tahu dobi-dobi itu menggunakan sistem gas berpaip kerana semuanya tersorok di dalam...apabila berlakunya letupan pertama, 'pecah rahsia' mereka.

"Ada premis dobi yang dibuat tidak mengikut spesifikasi standard minimum yang diperakui ST dan gagal membuat servis dan penyelenggaraan...lama-lama paip berkarat dan kebarangkalian untuk kebocoran itu ada... bila gas berkumpul dan sampai ke satu tahap dalam 'lower explosive limit' (LEL), ia akan meletup bila suis diketik," katanya.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata ST kini sedang dalam proses menerbitkan garis panduan pepasangan sistem gas berpaip kepada premis-premis dobi layan diri bagi membantu pengusaha dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan orang awam tidak terjejas akibat aktiviti pembekalan gas berpaip.

"Dengan adanya garis panduan itu, kita bakal mewajibkan pengusaha untuk menampal kelulusan serta lesen gas, sama seperti menampal lesen perniagaan, di premis yang berdaftar di bawah ST...buat masa ini kita bagi panduan dan kesedaran, akan datang kita akan buat serbuan," katanya. 

Beliau menambah, pengusaha dobi yang ingkar untuk mendapatkan kelulusan dan lesen daripada ST boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya.

Justeru katanya, pengusaha atau bakal pengusaha dobi layan diri diingatkan untuk mendapatkan Kelulusan untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas bagi memastikan reka bentuk sistem paip gas dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan ST serta dapat dikendalikan dengan selamat.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]