Wan Zulkiflee Wan Ariffin
KUALA LUMPUR, 10 Julai (BERNAMA) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil langkah untuk meneroka bahagian pertumbuhan baharu selain minyak dan gas konvensional, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Wan Zulkiflee berkata berikutan permintaan terhadap sumber tenaga yang lebih mampan, Petronas sedang mempertimbangkan pelaburan berdaya maju dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan biojisim secara komersial.
"Untuk menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat, Petronas telah memulakan pelbagai pelaburan dalam bidang tenaga berpaksikan kepada strategi tiga serampangnya bagi membangunkan tenaga campuran yang akan mengimbangi secara berkesan Trilemma Tenaga merangkumi jaminan, kemampuan dan kelestarian bekalan tenaga," katanya pada Perbincangan Meja Bulat Forum Ekonomi Dunia mengenai landskap tenaga Malaysia, di sini, hari ini.
Penerokaan baharu itu akan menyokong inisiatif Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai status ekonomi rendah karbon menjelang 2050.
Beliau berkata matlamat keneutralan karbon itu hanya akan menjadi kenyataan dengan perubahan menyeluruh dalam sektor tenaga Malaysia dipandu oleh dasar tenaga yang mantap dan berpandangan jauh.
Oleh itu, sokongan dan pembabitan kerajaan dalam membangun dan melaksanakan peraturan-peraturan bagi ekosistem dengan mengambil kira semua faktor pengaruh utama adalah penting bagi perniagaan bukan sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup tetapi berkembang ketika landskap tenaga meneruskan peralihan besarnya.
Beliau berkata minyak dan gas akan kekal sebagai perniagaan teras kumpulan, terutamanya dalam tenaga campuran utama.
Syarikat itu memperuntukkan RM30 bilion untuk aktiviti huluannya pada 2019 dengan separuh daripadanya bagi pelaburan domestik untuk memastikan tiada gangguan bekalan tenaga.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]