SEREMBAN, 10 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Sembilan memperuntukan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan Projek Baiti Jannati (PBJ) "Rumahku, Syurgaku" melibatkan empat penduduk Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan.
TNB dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menyerahkan secara simbolik sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut disaksikan Ketua Khidmat Pelanggan dan Pembangunan Perniagaan Datuk Mohamad Azim sempena Majlis Mesra Aidilfitri 2019 di pejabat TNB di sini.
Menurut kenyataan itu penerima adalah dibawah kategori asnaf, ibu tunggal, penerima bulanan Baitulmal dengan tapak tanah milikan penerima dan memenuhi skop tertentu yang menepati kriteria penerima Projek Baiti Jannati dan bakal menerima sebuah rumah dengan kos pembinaan berjumlah RM50,000 untuk setiap rumah dan dijangka dibina Ogos ini.
“ Projek CSR ini bagi peringkat TNB Negeri Sembilan telah bermula sejak tahun 2008 dan sebanyak 32 buah rumah telah berjaya dibina dan diserahkan kepada individu rakyat Negeri Sembilan yang layak. Sumbangan CSR TNB Negeri Sembilan sejak tahun 2008 sehingga 2018 telah melibatkan kos sebanyak RM1,230,000.
“Untuk tahun 2019 pula, sumbangan sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan dari sebahagian sumbangan zakat TNB kepada Negeri Sembilan melalui Pusat Urus Zakat Negeri Sembilan bagi meringankan beban golongan rakyat dari keturunan Melayu Islam yang layak dan amat memerlukan sebuah rumah kekal,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada majlis itu , majlis penyerahan simbolik bagi program CSR untuk Projek Mesra Rakyat (PMR) turut disempurnakan Aminuddin bagi menyantuni warga rakyat Negeri Sembilan dari keturunan Cina dan India.
“Sumbangan PMR ini telah bermula pada sejak tahun 2013 dan sehingga tahun 2017 kos sumbangan bagi membaiki rumah-rumah penerima adalah dengan keseluruhannya berjumlah RM240,000 dan telah membaiki sebanyak lapan buah rumah dari warga keturunan Cina dan India. Pada tahun 2018, pihak TNB amat prihatin dengan menambahkan peruntukan daripada membaik pulih sahaja kepada membina sebuah rumah dengan peruntukan RM50,000 untuk sebuah rumah.
"Sumbangan CSR ini merupakan nilai murni, tanggungjawab sosial serta komitmen TNB dalam membantu serta memberi semula sebahagian keuntungan TNB kepada rakyat yang memerlukan" ujar Wan Ishak Soed, Ketua (Perkhidmatan Pengguna) TNB Negeri Sembilan,” tambah kenyataan itu.
--BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]