Berita

RHB sedia platform dialog pembaharuan industri air dan tenaga



KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- RHB Banking Group (RHB) hari ini menganjurkan satu persidangan pelaburan bertemakan ‘Pembaharuan Industri’ di Malaysia yang disertai lebih 100 pelabur institusi tempatan.

Persidangan itu antara lainnya mengetengahkan usaha kerajaan dalam pembaharuan industri air dan tenaga; memastikan bekalan air bersih bagi tempoh jangka panjang dan meneroka model yang lebih cekap dari segi penjanaan dan penggunaan elektrik termasuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih ketara di Malaysia.

Acara sehari itu dihadiri oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago dan Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan yang juga Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Wakil korporat yang hadir termasuk Fitters Diversified, HSS Engineers, Ranhill Holdings, Cypark Resources dan Malakoff Corporation.

Pembangunan pesat di Malaysia telah membawa kepada peningkatan jumlah penduduk bandar dan pertumbuhan industri yang turut meningkatkan permintaan terhadap bekalan air bersih khususnya di  kawasan bandar.

Dalam industri tenaga misalnya, lonjakan bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi tahun-tahun akan datang selain melindungi alam sekitar negara, dicetuskan oleh kesedaran yang lebih ketara membabitkan isu-isu alam sekitar di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli dalam ucapan aluannya pada persidangan itu berkata : “RHB berbesar hati dapat turut memainkan peranan menerusi penganjuran persidangan ini dengan menghimpunkan wakil Kerajaan Pusat, agensi kerajaan serta pelabur dalam satu platform yang sama untuk membincangkan isu-isu, saling berkongsi pandangan dan mencari peluang bagi pembaharuan industri perkhidmatan air dan tenaga di Malaysia."

Beliau berkata, sejajar dengan Agenda Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 yang semakin hampir, adalah relevan bagi Malaysia untuk meninjau aspek pengubah (industri) bagi mentransformasi landskap tenaga negara.

“Pelaburan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui dijangka menjadi satu penyelesaian jangka panjang terhadap peningkatan permintaan tenaga di seluruh dunia serta di dalam negara dan sekali gus turut mengehadkan pencemaran dan pelepasannya," kata beliau.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian acara itu, Xavier berkata kementerian percaya Malaysia memiliki potensi bagi mencatat pertumbuhan lebih memberangsangkan dalam sektor berkaitan air, tanah dan sumber asli.

“Sehubungan itu, kalangan penggubal dasar dan industri perlu saling bekerjasama bagi mentransformasi dan memanfaatkan sektor-sektor strategi ini bagi memastikannya potensi sebenarnya dapat dicapai dan mewujudkan lebih banyak nilai.

“Usaha itu perlu dilaksanakan berpandukan pengetahuan yang relevan dan kukuh serta amalan baik bagi memastikan keseimbangan antara kesejahteraan ekonomi, sosial dan perlindungan alam sekitar ke arah pembangunan yang mapan."

Sementara itu, Yeo menerusi ucapannya berkongsi inisiatif kementerian itu dalam usaha pembaharuan tenaga khususnya tenaga boleh diperbaharui, penyelidikan dan pembangunan, pembiayaan awal serta perubahan iklim.

Beliau turut memuji usaha RHB yang bertindak menyediakan satu platform bagi membincangkan serta memacu peluang pelaburan dalam sektor tenaga tersebut.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]