Berita

MDEC akan tubuhkan unit AI disertai pakar tempatan, antarabangsa



KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mewujudkan unit kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong penubuhan rangka kerja AI kebangsaan yang telah bersedia melebihi 50 peratus pada masa ini. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri berkata unit itu disertai pakar-pakar tempatan dan antarabangsa bagi memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekosistem AI.

Beliau berkata pakar antarabangsa tersebut telah dikenal pasti dan bersedia membantu Malaysia dalam membangunkan industri berkenaan.

Sambil memberikan contoh, beliau berkata United Kingdom turut mempunyai unit AI seumpama itu dengan kerjasama kesemua agensi berkaitan dengan memberi lebih tumpuan kepada AI.

“Kami masih dalam proses mendapatkan maklum balas. Topik tersebut adalah penting dan kami perlu memastikan untuk berfikir dalam aspek yang tepat,” katanya pada sidang akhbar mengenai “Beyond Paradigm Summit 2019,” anjuran  Serba Dinamik  Holdings Bhd.

“AI merupakan topik baharu bagi Malaysia. Kita perlu faham dan kami akan berkongsi bagaimana untuk menyertainya tidak kira sama ada bagi pihak industri, kerajaan dan akademia. Jadi, kami akan menggariskan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Surina berkata pelbagai inisiatif dan bengkel telah dilaksanakan sejak awal tahun ini bagi menubuhkan rangka kerja AI kebangsaan itu yang dijangka dilancarkan pada akhir tahun ini.

Beliau turut menekankan kepentingan mentransformasi negara untuk menjadi hab AI dan meletakkan rangka kerja asas serta dasar yang berkaitan teras utama Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) menerusi penglibatan sektor swasta dan agensi berkaitan secara berterusan untuk memainkan peranan penting dalam transformasi digital.

Beliau berharap sidang kemuncak yang akan diadakan di Pusat Dagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada 17 dan 18 Julai ini akan menjadi antara platform yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengumpulkan input mengenai AI bagi memanfaatkan perniagaan, pengguna dan masyarakat.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ialah penganjur bersama “Beyond Paradigm Summit 2019,” manakala MDEC dan Microsoft merupakan rakan kongsi rasmi. TM One pula bertindak sebagai rakan kongsi teknologi dalam sidang kemuncak itu.

Selain di ibu negara, sidang kemuncak tersebut akan diadakan di Hotel Pullman, Sarawak pada 20 hingga 21 Julai untuk mempamerkan peluang-peluang yang ditawarkan dalam teknologi IR 4.0.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]