Berita

Petronas beri kontrak TA4MS kepada 17 vendor tempatan



KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memberikan Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bagi Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS) jangka panjang kepada 17 kontraktor tempatan, untuk menyelaraskan pemulihan lojinya dan pengurusan vendor penyelenggaraan harian.

Daripada 17 kontraktor itu, lima merupakan usaha sama (JV) antara syarikat tempatan dan asing dengan rakan kongsi dari Malaysia menerajui kerjasama tersebut.

Melalui JV ini, kontraktor tempatan dapat memanfaatkan kepakaran rakan kongsi antarabangsa mereka untuk meningkatkan keupayaan dan memacu pertumbuhan mereka, menurut Petronas dalam kenyataan hari ini.

Petronas berkata semua kontraktor itu turut dilantik sebagai syarikat peneraju Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas, untuk meningkatkan pengetahuan mereka dan bantuan kepada penggiat industri yang lebih kecil dalam ekosistem mereka.

TA4MS akan meliputi semua kemudahan dalam negara meliputi huluan dan hiliran, termasuk Terminal Pengegasan Semula (RGT) gas asli cecair (LNG) melibatkan 28 unit operasi (OPU) dan dijangka mencatatkan penjimatan kos sebanyak lima peratus hingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang. 

"Langkah perubahan, pemulihan dan kontrak penyelenggaraan harian akan menyediakan penggiat Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan saluran untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka, selain mencapai penjimatan kos dengan ketara bagi syarikat minyak nasional," kata Naib Presiden Perolehan Kumpulan Samsudin Miskon.

Samsudin berkata pendekatan pemulihan dan penyelenggaraan tepat pada masanya, untuk memenuhi permintaan yang dijangka meningkat, susulan pertumbuhan hiliran yang kukuh, terutamanya di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). 

"Integrasi kontrak ini sejajar dengan usaha jangka panjang Petronas untuk memperkasakan vendor tempatan, untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan mereka terhadap landskap industri yang sentiasa berubah.

"Kami berharap lebih banyak syarikat tempatan akan dapat melaksanakan pemulihan dan kerja-kerja penyelenggaraan harian, menawarkan loji dan peralatan yang dipercayai yang akan mewujudkan lebih banyak nilai," katanya.

Pelaksanaan TA4MS akan membantu meningkatkan standard Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekitar (HSE), produktiviti dan kualiti kerja, mengurangkan kerja-kerja semula dan memendekkan jadual dengan mengelak tugas berulang.

-- BERNAMA 

 

     

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]