JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baharu di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan yang lebih lestari di kawasan terbabit.
Semasa menegaskan perkara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata perancangan itu telah dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun dengan lebih lestari pada masa depan.
“Perancangan (bandar) Pasir Gudang kena lebih lestari pada masa depan, kita tidak boleh luluskan lagi semua kilang-kilang kimia, tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sesi townhall bersama pihak-pihak industri di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.
“Melihat kepada perkara itu, kita hari ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk melihat langkah-langkah segera yang boleh diambil dan langkah-langkah yang turut kita persetujui ialah setiap sekolah akan diberikan ‘pengesan gas’ oleh pihak industri dengan menjadikan sekolah terbabit anak angkat.
“Ini bagi memastikan pihak sekolah dapat mengambil bacaan secara berterusan dan cikgu akan diajar untuk menggunakannya.
“Kita juga akan kita memastikan Jabatan Alam Sekitar membuatkannya mandatori untuk kilang-kilang membekalkan pengesan gas ini dalam masa terdekat,” katanya.
Selain itu, Yeo juga akan membentangkan kertas kabinet mengenai pemasangan sistem pemantauan bahan cemar automatik di Pasir Gudang, Jumaat ini bagi mendapatkan peruntukan.
“Bermaksud, selepas ini di Pasir Gudang, kita akan ada stesen sistem ini, di mana ia akan baca bacaan bahan cemar, bukan kualiti udara. Ini lebih spesifik dan rakyat Pasir Gudang boleh memeriksa secara dalam talian tahap bacaan itu,” kata beliau.
Dalam masa yang sama, pihak industri juga telah diminta untuk memberikan data-data berkaitan yang boleh digunakan oleh pihak kementerian melaksanakan analisis ‘loading capacity’ terhadap kawasan industri Pasir Gudang.
“Analisis loading capacity ini akan mengambil masa empat hingga enam minggu, selepas itu kita mungkin akan adakan syarat-syarat lebih ketat daripada apa yang sedia ada sekarang untuk industri di Pasir Gudang,” katanya.
Analisis itu bertujuan untuk mendapatkan jumlah data bebanan sisa yang telah dilepaskan pihak industri ke udara, sungai dan sebagainya.
Ditanya mengenai jumlah kilang yang ditutup operasinya sejak insiden sesak nafas Khamis lepas, Yeo berkata setakat ini, tiga kilang telah ditutup.
Di samping itu, lebih daripada 100 pemeriksaan telah dilaksanakan terhadap kilang-kilang di Pasir Gudang sejak peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac.
Mengenai bilangan mangsa terbaharu dalam insiden sesak nafas pula, Yeo berkata hari ini, empat pelajar dari empat buah sekolah telah dirujuk ke hospital setelah didapati mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pening namun tiada yang masuk wad.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]