PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Pembangunan di Pasir Gudang, Johor yang tidak lestari memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
Beliau berkata pembangunan yang tidak lestari itu juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, yang mendedahkan penduduknya kepada risiko bencana kimia.
Terdapat 2,005 kilang berlesen di Pasir Gudang dengan 250 daripadanya kilang berasaskan bahan kimia, katanya pada sidang media mengenai perkembangan insiden pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang di sini hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzukefly Ahmad turut serta dalam sidang media itu.
Yeo berkata kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di daerah itu menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.
"Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan afluen yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran sekali gus menyebabkan persekitaran menjadi tidak stabil dan amat sensitif," katanya.
Mengenai ketiadaan zon penampan, Yeo berkata semasa pembinaan kilang-kilang tersebut diluluskan, faktor zon penampan tidak diambil kira menyebabkan terdapat sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang-kilang tersebut dengan ada antaranya berada dalam jarak 300 meter.
Untuk itu, katanya kementerian akan mengambil langkah segera termasuk mengadakan analisis loading capacity dan zon penampan bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia.
Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan penempatan semula kilang-kilang kimia tersebut bagi mewujudkan zon penampan, Yeo berkata perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Johor.
"Menteri Besar Johor (Datuk Dr Sahruddin Jamal) sangat komited untuk memastikan perancangan Pasir Gudang akan menjadi lebih lestari daripada apa yang kita lihat hari ini,” katanya.
Yeo berkata kementerian juga akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia yang lebih cekap dan pantas.
Yeo berkata Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama yang mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik di negara ini bagi membantu pihak berkuasa untuk bertindak lebih proaktif.
"Reka bentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan," katanya.
Yeo berkata kementerian juga akan mewujudkan sistem untuk menentukan 'carrying capacity' udara di Pasir Gudang dengan menggunakan kaedah Air Dispersion Modelling seperti mana yang diamalkan di negara-negara maju.
Beliau berkata cadangan-cadangan tersebut disasarkan untuk dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.
Yeo berkata kementerian juga akan mengadakan satu sesi townhall bersama pihak industri bahan kimia di Pasir Gudang Isnin ini.
"Kami akan membincangkan mengenai apakah langkah berjaga-jaga yang boleh kita ambil untuk mengelak insiden ini dan bagaimana kita memantaunya dengan lebih holistik.
“Justeru, pihak industri kimia di Pasir Gudang perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan awam diutamakan,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat kawasan-kawasan industri lain di negara ini yang juga berisiko seperti di Pasir Gudang, Yeo berkata kejadian penduduk sesak nafas di daerah itu adalah satu 'wake up call' kepada kerajaan untuk memberi perhatian kepada kawasan-kawasan industri.
Bagaimanapun, katanya pembangunan industri kimia di Pasir Gudang jauh lebih pesat berbanding kawasan lain dan pernah terdapat sejarah pencemaran udara di daerah itu yang tidak mendapat liputan meluas media.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]