Oleh NURUL HANIS IZMIR
PETALING JAYA, 27 Jun (Bernama) -- Dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan bahan binaan hijau (mesra alam sekitar) di negara ini, kerajaan sedang berusaha menawarkan ganjaran iaitu insentif cukai kepada pemaju bangunan hijau, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Walaupun ganjaran itu tidak diumumkan dalam Bajet 2020 akan datang, ia bagaimanapun akan dilaksanakan secepat mungkin, kata Timbalan Menterinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah.
"Kami telah bercakap mengenai perkara ini sejak beberapa tahun yang lepas, tetapi tidak ada tindakan susulan dilakukan (di bawah kerajaan terdahulu)… mesti ada insentif cukai diberikan kepada pemaju supaya mereka akan tertarik untuk membangunkan lebih banyak projek hijau.
"Sangat mengejutkan, peratusan bangunan hijau di negara ini hanya satu peratus berbanding dengan jiran kita, Singapura yang mencatatkan sebanyak 40 peratus. Kita hanya di seberang Tambak Johor tetapi kenapa begitu besar perbezaannya?," katanya kepada Bernama di luar Persidangan ‘Green Build’ (GBC) 2019 di sini hari ini.
Republik pulau itu dilaporkan menyasarkan 80 peratus bangunannya dilengkapi dengan ciri penjimatan tenaga menjelang tahun 2030.
Selain cadangan insentif cukai itu, Kamarul Bahrin berkata kerajaan juga akan merangka Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga (EECA) yang mengawal selia keperluan untuk kod tenaga bangunan komprehensif, melaksanakan pelabelan tenaga dan piawaian prestasi peralatan elektrik.
Beliau berkata keperluan pengawalseliaan akan berkuat kuasa pada tempoh 2019/2020, cadangan Akta itu menggariskan langkah-langkah komprehensif untuk menggalakkan penggunaan tenaga mampan termasuk penetapan sasaran, komunikasi dan pendidikan.
"Kami menyasarkan antara 550-1750 bangunan untuk diperakui hijau melalui alat penarafan bangunan hijau masing-masing menjelang 2020 dan 2030 dan menjelang 2040 menyasarkan untuk mencapai bangunan tenaga hampir-sifar.
"Saya ambil maklumkebimbangan dalam kalangan pembeli hartanah yang percaya bahawa harga hartanah akan meningkat dengan penggunaan bahan binaan hijau. Bagaimanapun, ia tidak semestinya benar. Jika kita melakukannya secara sistematik, bahan binaan hijau boleh menjimatkan dalam beberapa cara," jelasnya.
Sementara itu, anggota GreenRE dan Lembaga Pemegang Amanah Institut REHDA, Datuk Ng Seing Liong berkata walaupun terdapat sedikit kenaikan harga hartanah, dalam jangka panjang ia akan menjimatkan kos.
"Sebagai contoh, jika anda memasang panel solar pada rumah, harga hartanah mungkin lebih tinggi sedikit tetapi anda tidak perlu membayar elektrik tambahan untuk mandi menggunakan air panas," katanya.
Beliau berkata bagi merealisasikan agenda hijau di negara ini, ia memerlukan desakan daripada pihak atas.
Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan kerajaan untuk menyediakan kemudahan dan insentif dalam memacu pembangunan hijau di negara ini.
"Permudahkan bagi pemaju mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan untuk melaksanakan pembangunan pembinaan bangunan hijau. Skim pengecualian cukai di bawah Skim Elaun Cukai Pelaburan lambat untuk dilaksanakan kerana hanya pemilik bangunan komersial sahaja yang layak.
"Dengan kempen pemilikan rumah akan berlangsung bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia dan bagi menangani hartanah yang tidak terjual, sistem yang sama boleh dilaksanakan untuk menyediakan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah yang membeli hartanah diperakui hijau,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]