Oleh Jenny Imanina Lanong dan Murni Nasri
SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Dalam usaha untuk mendorong dan menginspirasi perniagaan kepada era tranformasi digital, Serba Dinamik Holdings Berhad akan menganjurkan persidangan bertajuk “Beyond Paradigm Summit 2019” bulan depan, persidangan transformasi digital pertama seumpamanya.
Persidangan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 hingga18 Julai dan di Kuching pada 20 hingga 21 Julai itu akan mempamerkan kemajuan teknologi merangkumi idea teras pendigitalan dan persekitaran tukaran data Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Naib Presiden Bahagian Latihan dan Projek Khas Serba Dinamik Dr Mohamed Ackiel Mohamed berkata ekoran arah aliran global terkini dan kepantasan kemajuan teknologi IR4.0, sudah tiba masanya untuk perniagaan bertindak dan berubah untuk bertahan serta relevan.
“Ini merupakan gesaan untuk pelbagai industri merasai lonjakan paradigma kepada proses tambah nilai yang tinggi, digitalisasi, teknologi pembuatan yang maju dan penggunaan sumber yang cekap untuk menggerak daya saing,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Mohamed Ackiel yang juga anggota jawatankuasa persidangan itu menjemput Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) dan syarikat pemula niaga dengan penyelesaian inovatif mengoptimumkan dan meningkatkan produktiviti perniagaan mereka, supaya hadir pada persidangan itu.
“Kami mahu bawa mereka bersama dan kami menjemput penceramah yang disegani dan terkenal dalam bidang mereka untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, berkongsi apa yang diperlukan untuk melibatkan diri dalam revolusi digital dan belajar daripada kesilapan mereka.”
Antara penceramah yang dijangka mengambil bahagian pada persidangan itu ialah Pengarah Hal Ehwal Korporat Microsoft Malaysia Jasmine Begum, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Robotics dan Institut IoT Datuk Madani Sahari, Ketua Pegawai Teknologi MIMOS Thillai Raj dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Surina Shukri.
Penceramah terkenal lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah.
Topik yang akan dibincangkan pada persidangan itu termasuk mengenai masa depan kenderaan autonomi dan elektrik, tenaga kerja Kecerdasan Buatan (AI), kemajuan dalam penjagaan kesihatan serta robotik dan juga pergerakan dari lejar digital terbuka sehinggalah kepada penyelesaian transaksi tanpa fi dalam industri teknologi kewangan.
Robot yang dikenali “Sophia The Robot”, yang menggunakan AI, pemprosesan data visual dan pengecaman wajah juga dijadualkan membuat penampilan istimewa semasa persidangan itu.
Menurut Mohamed Ackiel “Sophia” juga akan menunjukkan kemahiran berdebat dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain mempamerkan kemahirannya dalam nyanyian dan lukisan kepada delegas.
Orang ramai dijemput menghadiri pameran di kedua-dua lokasi persidangan itu.
Untuk maklumat lanjut, layari www.beyondparadigmsummit.com
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]