Berita

Projek pembinaan empangan Papar dimulakan selepas pelan baharu siap



PAPAR, 26 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan empangan Papar akan dimulakan sebaik sahaja pelan baharu siap secepat mungkin, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata reka bentuk atau pelan baharu empangan berkenaan dibuat setelah kerajaan negeri memutuskan untuk membina empangan itu di sungai Papar iaitu bersebelahan dengan Kampung Menderingin.

“Sebelum ini (semasa kerajaan Barisan Nasional), empangan berkenaan yang dikenali sebagai empangan Kaiduan sepatutnya dilaksanakan di kawasan persempadanan daerah Penampang dan Papar, namun kerajaan kini memutuskan untuk memindahkan lokasi dan akan dibuat sepenuhnya di kawasan Papar.

“Oleh itu, kita membuat semula pelan baharu empangan berkenaan, ia juga diubah suai agar bertindak sebagai dua dalam satu iaitu turut berupaya menjana tenaga elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi pembinaan empangan berkenaan dekat sini semalam.

Peter berkata empangan itu bakal menjana 100 kilovolt-amphere (KVA) kuasa elektrik yang boleh menampung keperluan dari Papar sehingga ke Kota Kinabalu. 

“Mengikut kajian, dianggarkan empangan ini berupaya menampung 1,000 juta liter sehari (MLD) dan ia sekali gus dapat menyelesaikan masalah air di kawasan Papar, Kota Kinabalu dan seluruh kawasan berhampiran,” tambahnya.

Peter berkata projek berkenaan dianggarkan memakan belanja kira-kira RM3 bilion dan kerajaan negeri akan membuat pinjaman berbentuk 'soft loan' daripada kerajaan persekutuan untuk membiayai projek berkenaan.

Beliau berkata jalan raya menuju ke kawasan pembinaan empangan itu yang kini sangat teruk akan dinaik taraf untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dan penduduk yang terlibat dengan pembinaan empangan ini akan mendapat bantuan sepatutnya seperti pemindahan di penempatan baharu dan bayaran insentif.

Sementara itu, Peter berkata sebuah jambatan yang menggunakan kaedah ‘bailey bridge’ akan dibina di sungai Kaiduan.

“Kini jambatan ‘Low Level crossing’ yang menghubungkan kampung berkenaan dengan jalan utama telah rosak dan tidak dapat dilalui. Jambatan itu adalah satu-satunya laluan utama ke kampung berkenaan dan beberapa lagi kampung berhampiran.

“Terdapat sebuah sekolah rendah di kampung berkenaan dan jambatan ini sangat penting…oleh itu jambatan baharu akan dibina secepat mungkin selepas pembinaan tembok sungai berkenaan siap,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]