KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Minyak mentah dijangka diniagakan antara US$65 dan US$75 setong pada separuh kedua tahun ini, namun konflik geopolitik berterusan boleh mendorong harga itu meningkat lebih tinggi, kata Pengerusi dan Pengasas FGE, Dr Fereidun Fesharaki.
FGE merupakan firma perundingan terkemuka yang menumpukan pasaran minyak dan gas global.
Minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras diniagakan pada US$64.22 setong buat masa ini.
Fesharaki berkata bagi beberapa tahun akan datang, harga minyak dijangka dalam julat antara US$60 dan US$70 setong.
“Bagi pandangan jangka pendek, dengan pengecualian situasi kemerosotan ekonomi, peningkatan permintaan terhadap minyak adalah kukuh pada satu juta tong sehari,” katanya semasa menyampaikan ucapan khas di sesi ‘Conference Chairman Crystal Ball: Energy Outlook’ di sini, hari ini.
Sesi itu diadakan sempena Persidangan Minyak dan Gas Asli 2019.
Mengulas lanjut harga minyak, Fesharaki berkata pengurangan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC pada Disember 2016 dan Disember 2018 telah membawa kepada pengukuhan harga.
“Bagaimanapun apabila mereka melonggarkan pengeluaran, harga jatuh semula. Paras harga semasa dipengaruhi oleh sentimen menurun dalam pasaran berbanding peningkatan ketegangan perdagangan antara ekonomi utama,” katanya.
Beliau berkata bagi jangka pendek, permintaan berkurangan terhadap minyak mentah dianggap sebagai faktor utama, berbanding kesan perang perdagangan.
“Kesan perang perdagangan ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar dan ekonomi negara-negara belum dapat dilihat, malah hakikatnya ekonomi global, telah berkembang pada kadar yang lebih perlahan,” katanya.
Mengulas mengenai segmen gas asli cecair (LNG), Fesharaki berkata sejumlah besar projek di Amerika Syarikat dan Australia pada 2019 dan 2020 akan mengakibatkan penurunan harga LNG US$3.5 hingga US$4.5 bagi satu juta unit terma British (mmbtu) di Eropah dan Asia.
“Projek LNG terakhir akan dilaksanakan pada lewat tahun depan selepas itu ia akan berakhir. Bagi jangka sederhana, dengan pasaran LNG dijangka terhad dan kekangan jumlah baharu serta pertumbuhan permintaan pada kira-kira empat peratus, harga semerta itu akan meningkat melebihi harga kontrak,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]