Berita

Projek Battersea catat prestasi menggalakkan walaupun terdapat isu Brexit



Oleh Aishah Mohmad Afandi

LONDON, 24 Jun (Bernama) -- Keyakinan pelabur dalam projek pembangunan semula Battersea Power Station yang diterajui Malaysia di bandar raya ini kukuh walaupun terdapat isu Brexit.

Ketua Pegawai Kewangan Battersea Power Station Development Company Ltd Benn Zemek berkata kadar pembelian unit kediaman di bawah fasa satu kekal kukuh berikutan ia kini dihuni oleh lebih 1,000 penduduk.

Syarikat itu turut menyewakan lebih 95 peratus daripada fasa satu ruang komersial dengan prestasi runcit yang meningkat.

“Ekonomi tempatan disokong oleh asas jangka panjang yang kukuh bahawa London telah wujud sejak berabad lalu, dan apa yang boleh kita lihat ialah terdapat permintaan untuk rumah dan ruang komersial, dan kami berada di sini untuk memenuhinya,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Katanya walaupun perjanjian Brexit diteruskan, beliau percaya lokasi projek itu dan nilai sejarahnya akan menjadi tarikan utama kepada pelabur.

“Pada masa ini, kami mempunyai campuran pembeli dan pembeli yang berpotensi dari Asia Tenggara dan Timur Tengah, disokong oleh permintaan tempatan yang kukuh. Bagi mereka yang bersedia untuk melihat ekonomi makro sebelum ini, kita dapat melihat harga hartanah di tapak ini menggalakkan,” katanya.

United Kingdom dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah pada 31 Okt, 2019, lanjutan dari tarikh akhir sebelum ini pada 29 Mac, 2019.

Bagi fasa dua aset komersial, yang baru-baru ini dibeli oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), katanya ruang pejabat itu akan menempatkan ibu pejabat Apple di London dengan serahan disasarkan pada awal 2021.

“Dengan permintaan daripada pekerja Apple pada masa akan datang, kami percaya ia akan memberikan sinergi kepada sektor runcit dan kediaman pada masa depan,” katanya.

Dalam tempoh 12 bulan lepas, jualan kediaman berjumlah £120 juta telah dijana, dan gabungan nilai pembangunan kasar untuk semua lapan fasa sebanyak £9 bilion.

Pemilik projek itu, Battersea Project Holding Company Ltd, dimiliki secara bersama oleh Sime Darby Property Bhd (40 peratus), SP Setia Bhd (40 peratus) dan KWSP (20 peratus).

— BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]