KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pelaburan yang tidak mencukupi telah dibuat dalam projek minyak dan gas semasa harga minyak rendah terutamanya dalam projek yang memerlukan tempoh yang panjang, menurut Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata sejak beberapa tahun lepas, tidak banyak keputusan pelaburan akhir (FID) dibuat dalam projek gas asli cecair (LNG) dan industri akan melihat impaknya dalam beberapa tahun akan datang.
"Permintaan jangka pendek boleh diisi dengan projek kitaran pendek bukan konvensional. Kami kini bersama beberapa rakan kongsi, kami telah memperoleh FID positif untuk projek LNG di Kanada. Itu merupakan pelaburan terbesar kami dalam LNG," katanya pada ‘CEO Strategic Dialogue on Preparing for a New Energy Future’ di sini hari ini.
Wan Zulkiflee berkata Petronas mempunyai portfolio sumber bekalan LNG yang berkembang di Malaysia, Mesir, Kanada dan Australia dan ia akan menjadi penyumbang pendapatan utama kepada Petronas.
Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor dijangka memulakan operasi komersialnya pada suku keempat tahun ini.
Petronas telah melabur sebanyak US$26 bilion dalam RAPID, projek terbesar yang telah dilaksanakannya. Kompleks tersebut mempunyai kapasiti penapisan 300,000 tong sehari dan 3.3 juta tan pengeluaran petrokimia.
"Kami mengambil pandangan positif terhadap permintaan untuk petrokimia. Kami menyokong projek ini apabila harga minyak benar-benar rendah. Kini, pembinaan hampir siap, kami mengoperasikan sebahagian loji tersebut dan kami berharap dapat beroperasi pada akhir tahun ini," kata Wan Zulkiflee.
Beliau berkata Petronas tidak akan mendahului keluk dalam tenaga boleh baharu dan akan mengekalkan pendekatan berukur dalam industri minyak dan gas.
"Pulangan dalam tenaga boleh baharu tidak sama dengan pulangan dalam minyak dan gas konvensional," katanya, sambil menambah Petronas perlu mencari lokasi yang baik untuk pelaburannya supaya ia tidak terjejas dari segi kewangan.
Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata Petronas akan terus menghapuskan ketidakcekapan dalam operasinya apabila harga minyak stabil.
Beliau berkata peruntukan belanjawan tertentu telah dikekalkan dan dianggap sebagai pelaburan jangka panjang dalam menghadapi turun naik industri.
"Kami belajar banyak perkara dalam masa sukar ini. Banyak ketidakcekapan wujud bukan hanya dalam Petronas (tetapi juga) seluruh industri semasa keadaan benar-benar baik. Kami mengambil peluang ini untuk menghapuskan ketidakcekapan ini.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang kami telah katakan bahawa kami tidak akan ubah. Misalnya, peruntukan untuk membina kecekapan kakitangan kami dan peruntukan penerokaan, kami tidak akan mengubahnya kerana semua itu untuk jangka panjang. Peruntukan penyelidikan kami dan jumlah biasiswa kami juga kami tidak ubah pada waktu sukar. Kami memberikan lebih 300 biasiswa setiap tahun," katanya.
Wan Zulkiflee berkata di peringkat dalaman, kepimpinan Petronas menghabiskan banyak masa dalam membina tata laku dan budaya yang sesuai berikutan "apa-apa yang kami ubah seperti proses kerja tidak akan kekal jika organisasi tidak mempunyai budaya yang sesuai".
"Malangnya, kami juga perlu mengoptimumkan tenaga kerja kami. Oleh itu, beberapa ribu terjejas pada masa itu, tetapi ini adalah malang tetapi ini adalah sesuatu yang perlu kami lakukan dengan melihat kepada kos kami," katanya.
Beliau berkata inisiatif digital turut memainkan peranan yang besar dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas dan pada masa ini, Petronas dalam usaha ke arah bidang digital.
“Cabaran kami ialah tidak membiarkan ketidakcekapan wujud semula apabila harga stabil dan mungkin dalam aliran meningkat. Itu antara pembelajarannya," kata Wan Zulkiflee.
Kepada soalan mengenai keperluan untuk menangani impak daripada industri minyak dan gas berhubung perubahan iklim, Wan Zulkiflee berkata kepimpinan Petronas pada masa ini membelanjakan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 kali lebih banyak ke atas kemampanan berbanding lima tahun lepas.
"Di Malaysia, banyak lapangan kami adalah lapangan CO2 yang tinggi. Kami melabur dalam teknologi dan banyak inisiatif untuk menguruskan lapangan CO2 tinggi ini. Hari ini, Malaysia mengeluarkan 370 juta tan CO2.
"Tahun lepas, Petronas mengeluarkan sebanyak 54 juta tan CO2. Sasaran kami ialah mengurangkannya kepada 49.5 juta tan (CO2) dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Kami mempunyai banyak lapangan CO2 yang tinggi, dan untuk mengekalkan pada paras semasa merupakan satu cabaran, tetapi kami telah menetapkan sasaran untuk mengurangkannya.
“Ia adalah cabaran yang amat besar kepada organisasi tetapi kami komited untuk melakukannya," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]