Berita

Lynas komited proses nadir bumi di Australia

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) hari ini mengulangi komitmennya kepada Malaysia membabitkan usaha pemprosesan bagi pelupusan nadir bumi mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) di Australia.

Pengarah Urusan dan Naib Presiden Lynas Datuk Mashal Ahmad berkata syarikat itu komited untuk memindahkan proses 'Cracking & Leaching' atau pemecahan dan larut-lesap ke Australia dalam tempoh lima tahun akan datang, malah telah mengenal pasti dua tapak pemprosesan yang berpotensi dan berhampiran lombongnya di Australia Barat.

“Kami mendengar apa yang telah dikatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan maklum bahawa Malaysia mahukan pemprosesan peringkat pertama dilakukan sebelum bahan itu dipindahkan ke negara ini bagi proses selanjutnya.

“Peringkat pertama itu merujuk tahap di mana bahan nadir bumi itu diasingkan daripada bahan radioaktif semula jadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di Australia turut menyokong langkah terbabit.

Mashal berkata sebaik sahaja kilang baharu itu beroperasi, bahan yang dibawa ke Malaysia bagi tujuan proses berikutnya tidak akan mengandungi bahan NORM berkenaan.

“Kira-kira satu pertiga daripada pekerja Lynas Malaysia bekerja di peringkat pemecahan dan larut-lesap tersebut pada masa ini. Oleh itu, kami akan membuat pelaburan tambahan dari segi proses hiliran di Malaysia untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu selain memastikan semua pekerja mempunyai peluang untuk berkembang dalam syarikat ini,” katanya.

Menurut Mashal, walaupun perubahan operasi itu akan menelan kos kira-kira RM1.5 bilion, namun usaha itu akan diteruskan kerana komitmen syarikat itu kepada pekerjanya serta peranan Malaysia sebagai tumpuan pusat kecemerlangan berkaitan pemprosesan nadir bumi.

Beliau berkata, sebanyak 97 peratus pekerja Lynas Malaysia merupakan rakyat tempatan.

“Kami berbangga menjadi peneraju industri ini sebagai pengeluar nadir bumi yang bertanggungjawab dan mapan. Kami turut membuat pelaburan dalam penyelidikan bagi penggunaan semula sisa yang dijana, seiring dengan ketetapan pelesenan dan amalan terbaik industri," katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]