Berita

Gamalux Oils sasar jualan cecah RM100 juta



Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Di sebalik isu diskriminasi Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit negara ini, satu penggiat dalam sektor hiliran sawit Malaysia seakan tidak terjejas malah turut menyasarkan untuk terus mendapat permintaan lebih baik daripada kalangan pelanggannya di Eropah.

Gamalux Oils Sdn Bhd (Gamalux), pengeluar bahan mentah bagi biodiesel dan haiwan ternakan, menyasarkan jualan eksportnya mencecah RM100 juta tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus daripada 2018, dengan Eropah sebagai penyumbang utamanya.

Ditubuhkan pada Oktober 2009, syarikat itu telah membina reputasi dalam teknologi hijau sebagai perintis teknologi ekstrak pelarut daripada tenaga boleh diperbaharui (berasaskan minyak sawit).

Ketua Eksekutifnya, Usman Ahmed berkata 80 peratus daripadanya pengeluaran syarikat itu dieksport ke negara Eropah seperti Itali, Sepanyol, Netherlands, United Kingdom, Switzerland dan negara-negara Scandinavia manakala baki 20 peratus ke Korea dan China,

“Syarikat ini telah mencatat jualan RM80 juta tahun lepas dan dijangka mencapai peningkatan sasaran tahun ini berdasarkan permintaan daripada pelanggan sedia ada, khususnya di sektor Eropah,” katanya kepada Bernama.

Menurut Usman, produk-produk Gamalux yang 100 peratus diperolehi daripada hasil sisa minyak sayuran, juga mendapat sambutan dalam pasaran mapan.

Malah, syarikat itu juga tidak terjejas dengan desakan EU membabitkan larangan penggunaan minyak sawit kerana tidak berada dalam aliran utama komoditi itu tetapi dari segi penggunaan sisa bagi nilai tambah.

“Secara asasnya, kami menggunakan teknologi hijau bagi mengitar semula semua sisa yang ada.

“Kami mempunyai kelebihan bagi mendapatkan lebih banyak akses ke pasaran berikutan memiliki aspek pensijilan seperti Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) dan Skim Kebangsaan Itali (NIS) serta seiring dasar kemapanan baharu Eropah," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai dua kilang pengeluaran di Lahad Datu yang juga ibu kota industri Sabah.

Malah, sejajar kedudukan Sabah sebagai antara negeri pengeluar utama minyak sawit mentah di Malaysia, turut membantu Gamalux memperolehi bahan secukupnya daripada kilang penapis dan kilang sawit bagi menghasilkan bahan mentah tersebut.

Menurutnya, dua kilang itu termasuk kilang ekstrak pelarut dan kilang penapis fizikal khusus, masing-masing memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 400 tan sehari dan 300 tan sehari dan kadar penggunaan 70 peratus itu membolehkan Gamalux memenuhi permintaan yang kian meningkat.

Selain itu, Gamalux juga memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM16 juta tahun ini bagi tujuan peningkatan kapasiti kilang penapis miliknya.

Bagi kemajuan masa depan, Usman berkata syarikat itu turut melihat peluang bagi mengeksport produk-produknya ke Amerika Syarikat khususnya ke wilayah California yang melaksanakan dasar kemapanan baharu serta Jepun yang membabitkan penggunaan bahan mentah mapan untuk loji tenaganya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]