Berita

Serba Dinamik sasar perolehan sehingga RM200 juta daripada perkhidmatan berkaitan IT



SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) --  Serba Dinamik  Holdings Bhd menyasar untuk merekodkan perolehan antara RM150 juta dan RM200 juta daripada perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat (IT) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah berkata IT akan menjadi bahagian penting untuk melonjakkan perolehan syarikat perkhidmatan tenaga itu pada masa depan, malah beberapa program telah dirancang bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019.

“Kami menyediakan keseluruhan rangkaian dan infrastruktur untuk meletakkan keupayaan IT kami di peringkat global selain mewujudkan makmal inovasi di India Institute of Technology di Chennai di samping dapat menarik kumpulan profesional daripada industri ini dan pihak berkaitan lain di India,” katanya semasa sidang media mengenai ‘Beyond Paradigm Summit 2019’ di sini, hari ini.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, syarikat telah mencatatkan jualan keseluruhan bernilai RM25 juta menerusi perkhidmatan IT.

“Walaupun perniagaan teras  Serba Dinamik  adalah pengoperasian dan penyenggaraan serta EPCC (kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian), kami yakin syarikat memerlukan keupayaan IT untuk memperkukuh daya saing,” katanya.

Mohd Karim berkata pihaknya juga telah menubuhkan anak syarikat di Silicon Valley, Amerika Syarikat, di bawah anak syarikat milik penuhnya  Serba Dinamik  IT Solutions Sdn Bhd (SDIT).

Pada Disember 2018, SDITmembeli 30 peratus kepentingan penyedia penyelesaian IT, eNoah iSolution India Pvt Ltd pada RM15 juta sebagai sebahagian langkah peluasan syarikat ke dalam sektor teknologi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia selepas itu,  Serba Dinamik  berkata pembelian berkenaan akan membolehkan syarikat memperluas kedudukannya, memandangkan eNoah mempunyai operasi di negara seperti India, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura.

Mohd Karim berkata  Serba Dinamik  telah memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan projek berkaitan IT sedia ada dan akan datang bagi tahun kewangan 2019. Setakat ini, kira-kira RM13 juta telah dibelanjakan.

Bahagian perkhidmatan berkaitan IT  Serba Dinamik  akan menyasarkan pelanggan institusi dan awam menerusi tawaran seperti sistem pembayaran tanpa tunai yang berkait dengan teknologi tempat letak kenderaan.

“Kami akan memperkenal aplikasi yang amat berguna untuk setiap individu di dunia. Kami memanfaatkan kedudukan rangkaian geografi kami yang dibangunkan di negara yang mempunyai operasi kami di Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Karim berkata  Serba Dinamik  akan menganjurkan ‘Beyond Paradigm Summit 2019’ di sini pada 17 dan 18 Julai serta di Kuching, Sarawak pada 20 dan 21 Julai.

Sidang kemuncak itu akan mempamerkan teknologi canggih merangkumi idea teras pendigitalan dan pertukaran data berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Acara itu juga akan menampilkan robot manusia sosial, Sophia, yang dicipta oleh Hanson Robotics of Hong Kong.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]