Berita

Jawatankuasa khas dibentuk bagi pantau harga MSM - Teresa Kok



GEORGE TOWN, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama Khas yang diketuai oleh Kementerian Perusahaan Utama bagi memantau dan memastikan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil apabila negara melaksanakan bahan api biodiesel B20 pada tahun hadapan.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata hari ini, jawatankuasa khas itu, yang juga merangkumi Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri, akan membincangkan subjek berkenaan sebelum dilaksanakan menjelang 2020.

"Jadi, semalam semasa mesyuarat kabinet, semua kementerian dalam jawatankuasa bersama itu telah bersetuju untuk bekerjasama kerana ia melibatkan undang-undang serta peraturan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kedua FMM-MPOB mengenai Perlaksanaan Biodiesel (B7) di Sektor Industri di sini. 

Katanya, Malaysia berhasrat untuk menubuhkan satu dana penstabilan biodiesel untuk membantu memantapkan harga bahan api bio, serta menjadikan bahan api itu lebih menarik kepada pengguna. 

"Kami akan berbincang dengan kementerian-kementerian lain bagi mewujudkan satu mekanisme baharu untuk memastikan bahawa apabila harga MSM tinggi, kita masih dapat menstabilkan harga bahan api bio di pasaran," katanya.

Ini disebabkan orang ramai melahirkan kebimbangan bahawa peningkatan penggunaan bahan api bio akan menyebabkan harga minyak sawit melonjak.

Menurut Kok lagi, bagaimanapun, sebelum sebarang mekanisme dilaksanakan, kementeriannya akan berunding dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat-syarikat petroleum dan pengeluar kereta untuk memastikan bahawa pelan tersebut akan berjalan lancar selepas perlaksanaan biodiesel B20. 

"'Perlaksanaannya akan membolehkan minyak biodiesel B20 disediakan di semua stesen minyak di seluruh negara bagi kegunaan pasaran," katanya.

Minyak sawit merupakan pilihan terbaik bagi mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil, kerana ia mempunyai potensi yang besar sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui (RE). 

"Indonesia, yang merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit yang terbesar, telah menggunakan biodiesel B20 selama bertahun-tahun dan tiada sebarang maklum balas negatif daripada industri automotif. Malahan, mereka kini sedang menguji B100 di Sumatera dan merancang untuk beralih ke B30 tidak lama lagi," katanya. 

Pada Disember 2018, Malaysia memperkenalkan biodiesel B10 untuk pasaran domestik, meningkatkan campuran asal daripada tujuh peratus (biodiesel B7) kepada 10 peratus.

Ia juga melaporkan sebelum ini bahawa Dasar Automotif Negara sedang menjalankan kajian semula yang merangkumi pembangunan biodiesel sebagai agenda penting kepada pelan kecekapan tenaga pengangkutan, untuk membolehkan peratusan campuran biodiesel yang lebih tinggi dalam beberapa dekad akan datang.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]