Berita

Sunway Group bekerjasama dengan ParkEasy perkenal ruang mengecas kenderaan elektrik



KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kumpulan Sunway merancang menyediakan lebih banyak ruang mengecas kenderaan elektrik di kemudahan kumpulan itu termasuk di pusat perubatan dan pusat membeli belah secara kerjasama dengan penyedia perkhidmatan tempahan parkir pintar ParkEasy.

Menyifatkan kemudahan jenis karbon rendah itu sebagai satu yang akan mendapat permintaan tinggi pada masa depan, pengasas dan pengerusi kumpulan Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling berkata beliau berharap langkah itu boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran ruang baharu Reserve Shell Recharge Bays di Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Cheah berkata dengan pelancaran hari ini, akan terdapat 10 ruang mengecas di kemudahan Kumpulan Sunway di Lembah Klang -- lima di pusat membeli belah Sunway Pyramid (Petaling Jaya), tiga di menara korporat The Pinnacle Sunway (Petaling Jaya) dan dua di gedung Sunway Velocity (Cheras).

“Ruang mengecas seterusnya akan disediakan di pusat perubatan kami bagi menyediakan kepada lebih ramai pelanggan yang mempunyai kereta hibrid atau elektrik. Harapnya, kami boleh mengembangkan lagi ruang mengecas ini ke pusat perubatan pada tahun ini,” katanya. 

Platform ParkEasy adalah aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna kenderaan elektrik atau hibrid menempah ruang di Reserve Shell Recharge Bays bagi lebih daripada 60 minit, dan memberi jaminan kepada pemandu ketersediaan ruang parkir dan tempat mengecas. 

Ruang mengecas baharu itu diperkenalkan secara bersama oleh Sunway Group, BMW Group Malaysia, Shell Malaysia Ltd dan ParkEasy.

Pada masa hadapan, Cheah berkata kumpulan itu merancang meneruskan kerjasama dengan ParkEasy untuk menyediakan penyelesaian ruang mengecas di Gedung Membeli Belah Sunway Carnival di Pulau Pinang, Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh dan gedung membeli belah Sunway Big Box Village di Johor Bahru.

“Sekarang ada dua ruang mengecas di Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh, dan saya yakin akan ada banyak permintaan terhadapnya kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo berkata setakat ini, terdapat 12 ruang mengecas kereta elektrik yang disediakan oleh syarikat tersebut di pejabat dan gedung membeli belah di negara ini. 

Beliau berkata syarikat itu merancang menyediakan ruang mengecas pantas di stesen minyak Shell sekiranya bilangan kenderaan elektrik di negara ini meningkat ke paras yang mencukupi pada masa depan. 

-- BERNAMA

 


 





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]