Berita

Malaysia akan mempunyai institut antarabangsa untuk bakat dalam tenaga boleh diperbaharui

Zhang Guo Qiang

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Edra Power Holdings Sdn Bhd merancang menubuhkan institut antarabangsa di Malaysia untuk memupuk bakat tempatan dalam tenaga boleh diperbaharui di bawah syarikat induknya, China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Ia akan menjadi salah satu daripada lapan institut latihan sedemikian dalam penerokaan aktif CGN untuk kaedah latihan bakat antarabangsa untuk menyokong operasinya di seluruh dunia.

"CGN Energy International Institute (CGNEI) adalah platform CGN untuk tenaga bersih luar negara yang akan berpusat di Malaysia dan menyebar ke negara-negara sepanjang inisiatif Jalur dan Laluan China seperti Eropah dan Amerika untuk menggunakan 40 tahun pengalaman dan sumber latihan CGN Group, menggabungkan amalan pemupukan bakat dan amalan terbaik setiap syarikat serantau serta menyokong pembangunan tenaga bersih global CGN," kata Naib Presiden Eksekutif Universiti CGN, Zhang Guo Qiang.

Beliau berkata dengan penubuhan institut itu di Malaysia dengan kerjasama Edra, CGN akan memainkan peranan aktif dalam membangunkan keperluan bakat tempatan memandangkan Malaysia beralih ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Malaysia Yeo Bee Yin dilaporkan sebagai berkata baru-baru ini bahawa negara sedang bersiap sedia untuk melakukan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui untuk menjadikan alam sekitar lebih mampan, berdaya saing, cekap dan lebih hijau.

Beliau berkata peralihan itu mungkin dilakukan selepas Malaysia menandatangani perjanjian inisiatif global RE100 pada Januari tahun depan. RE100 adalah Inisiatif Elektrik Global yang menyatukan perniagaan yang berpengaruh kepada 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dengan matlamat untuk mempercepat perubahan terhadap grid karbon sifar, pada skala global.

"Kami akan menyediakan rangka kerja itu dan mengumumkannya dalam masa beberapa bulan," Yeo memberitahu wartawan.

Zhang memberitahu Bernama bahawa inisiatif pemupukan bakat CGN telah membesarkan kumpulan itu untuk menjadi pemimpin dalam tenaga bersih dan kepakaran, kemahiran dan pengetahuan teknikal akan menjadikan CGNEI sebagai permulaan utama dalam pemupukan bakat tempatan.

Beliau berkata CGN, pengendali tenaga nuklear terbesar di China dan  ketiga terbesar di dunia serta pembina stesen tenaga nuklear terbesar dunia, sejak 40 tahun yang lalu berusaha untuk membangunkan tenaga bersih dan dengan institut yang dicadangkan di Malaysia, kumpulan itu kini bersedia untuk menyokong pembangunan bakat berkualiti tinggi dan tenaga bersih di negara ini.

"Pusat latihan di Malaysia itu akan menjadi pusat latihan serantau yang penting. CGNEI akan melabur dalam jumlah yang besar dari segi pembangunan dan kemudahan latihan untuk mewujudkan kumpulan bakat berkualiti tinggi bagi Edra dan masyarakat setempat untuk menyokong pembangunan strategik tenaga bersih Edra," tambah Zhang.

Edra, anak syarikat CGN, adalah pengeluar tenaga bebas antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara dengan 13 loji kuasa dan penyahgaraman di Malaysia, Mesir, Bangladesh, Emiriyah Arab Bersatu dan Pakistan.

Beliau berkata ini adalah selaras dengan negara-negara  Jalur dan Laluan, termasuk Malaysia yang memberi  tumpuan berterusan terhadap tenaga bersih.

"Dan dengan Malaysia menjadi sebahagian daripada negara-negara Jalur dan Laluan, program yang ditawarkan akan membantu peralihan Malaysia ke arah tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kepakaran dan pengetahuan teknologi terhadap amalan dan keperluan global, setanding dengan keperluan inisiatif Jalur dan Laluan itu sendiri, "katanya.

 -- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]