Berita

Isu kenaikan bil elektrik ke Kabinet



PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Isu kenaikan mendadak bil elektrik dan rungutan rakyat mengenainya akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal kepenggunaan, beliau menerima banyak aduan melalui kiriman WhatsApp yang meminta penjelasan berhubung kenaikan bil utiliti tersebut.

Saifuddin berkata beliau akan membangkitkan isu itu pada mesyuarat Kabinet esok dan mendengar sendiri penjelasan daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin selaku yang menteri bertanggungjawab.

"Kita kena tahu apakah perkara yang menyumbang kepada keadaan itu berlaku, apa puncanya dan jika telah tahu sebab dan punca, sudah tentu kita akan cari jalan penyelesaian," katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Isu kenaikan bil elektrik menjadi tumpuan di media sosial apabila pengguna mengadu bil utiliti mereka melambung tinggi dengan ada di antaranya mencatatkan peningkatan 100 peratus atau sekali ganda.

Saifuddin dalam pada itu berkata beliau akan menemui bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin selepas sambutan Aidilfitri bagi mendengar pandangan dan syor berkenaan cara menurunkan harga barang.

Beliau turut mengakui pemerhatian dan penelitian yang dibuat bekas menteri kewangan itu bahawa harga barang boleh turun adalah benar dan tidak jauh daripada bacaan dan perkiraan yang dibuat kementerian.

Semalam, Daim dilaporkan berkata berdasarkan kajian serta pertemuannya dengan pelbagai pihak termasuk pihak koperasi dan pemborong, beliau yakin harga barang boleh turun sekiranya masalah orang tengah yang mengaut keuntungan melampau ditangani.

Sementara itu, Saifuddin berkata kejayaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti berjumlah RM1.94 juta kepada lapan syarikat yang didapati terbabit dengan aktiviti tipuan bida membuka dimensi baharu dalam penugasan badan bebas tersebut.

Mengambil kira peranan hakiki MyCC iaitu menggalakkan dan melindungi proses persaingan yang berlaku dalam perniagaan dan perkhidmatan, kejayaan itu secara tidak langsung membangkitkan kesedaran bahawa anggota MyCC turut memiliki keupayaan menyelesaikan kes berkaitan tipuan bida, katanya.

Pada Mac lepas, MyCC mengenakan penalti sejumlah RM1.94 juta kepada lapan syarikat yang didapati terbabit dengan aktiviti tipuan bida melalui tender yang ditawarkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), menjadikannya pengenaan penalti terhadap tipuan bida atau bid-rigging yang pertama di Malaysia.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]