Berita

Petronas Gas catat pendapatan suku-1 tinggi, luluskan dividen 16 sen



KUALA LUMPUR, 28 Mei -- Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) meningkat kepada RM515.46 juta dalam suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2019, berbanding RM483.22 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan keuntungan daripada pertukaran asing yang tidak direalisasikan dan bahagian keuntungan tinggi daripada syarikat usaha sama. 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini,  berkata keuntungan pertukaran asing sebanyak RM52.5 juta diperoleh daripada penamatan perakaunan lindung nilai ke atas liabiliti pajakan dolar AS bagi unit penyimpanan terapung di terminal pengegasan semula gas asli cecairnya di Sungai Udang, Melaka. 

Manakala bahagian keuntungan tinggi itu diperoleh berikutan selesainya projek unit pengasingan udara di Pengerang semasa tempoh tersebut.

Sementara itu, hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM1.37 bilion daripada RM1.35 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu berkata hasil kukuh bagi suku tersebut disumbang daripada hasil tinggi segmen pemprosesan gas dan utiliti berikutan caj tempahan yang bertambah baik di bawah perjanjian pemprosesan gas penggal kedua (GPA) dengan syarikat induknya Petroliam Nasional Bhd dan harga tinggi susulan semakan menaik harga bahan api.  

“Ini mengimbangi kesan di bawah Peraturan Berasaskan Insentif bagi segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula,” kata syarikat itu.

Pendapatan sesaham meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada 26.05 sen berbanding 24.42 sen setahun lalu, mencerminkan sumbangan keuntungan bersih tinggi yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat. 

PetGas juga mengumumkan dividen interim pertama 16 sen sesaham berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2019. 

Pada 31 Dis, 2018, Suruhanjaya Tenaga meluluskan tarif bagi perkhidmatan pengangkutan gas dan pengegasan semula untuk tempoh peraturan perintis pada 2019.

"Meskipun tarif itu dijangka memberi kesan kepada hasil segmen perniagaan pengangkutan gas dan pengegasan semula kumpulan pada 2019, kedua-dua segmen tersebut dijangka terus memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan,” kata PetGas.

“Segmen pemprosesan gas kumpulan dijangka mencatatkan pendapatan yang bertambah baik berikutan caj tempahan tetap tinggi di bawah penggal kedua GPA selama 20 tahun yang berkuat kuasa dari 2019 sehingga 2023,” kata syarikat itu. 

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]