Berita

Kilang PGW1 CCM akan beroperasi penuh menjelang suku ketiga

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) akan mengaktifkan semula dan mengoperasikan kilang Pasir Gudang 1 (PGW1) menjelang suku ketiga tahun ini dengan peningkatan kapasiti sebanyak 50 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin berkata kapasiti tambahan itu  akan membantu mempercepat pertumbuhan syarikat.

“CCM baru-baru ini telah diberikan kontrak tiga tahun oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membekalkan sejumlah maksimum 351,000 tan soda kaustik kepada Petronas Refinery & Petrochemicals Corporation Sdn Bhd, dengan anggaran nilai kontrak RM315.9 juta,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat agung tahunan CCM di sini, hari ini.

Beliau berkata pembuatan soda kaustik merupakan antara penyumbang perolehan terbesar kepada perniagaan kimia CCM selain itu penglibatan dalam projek pembangunan bersepadu penapisan dan petrokimia akan membolehkannya merealisasikan bahagian lebih besar dalam pasaran soda kaustik.

“Kami gembira memandangkan sehingga kini kami berjaya menjual 100 peratus apa yang kami hasilkan. Berdasarkan peningkatan kapasiti PGW1, kami akan dapat menghasilkan lebih banyak, sekali gus meningkatkan pendapatan kami,” katanya.

Mengenai prospek, Nik Fazila berkata harga klor-alkali (produk sampingan), iaitu soda kaustik, dijangka kekal rendah kerana aliran paras global dan kekangan kapasiti pengeluaran telah stabil.

“Pada suku pertama tahun lepas, harga soda kaustik adalah tinggi iaitu US$680 bagi setiap tan kering. Bagaimanapun, harga merosot kepada US$332 bagi setiap tan kering disebabkan tekanan daripada usaha Iran untuk melemahkan pembekal di Asia Tenggara, serta keputusan baharu India mengenai pelesenan,” katanya.

Beliau berkata selain segmen kimia, bahagian polimer CCM akan menumpukan segmen pasaran yang sangat khusus dan kini merupakan pembekal utama produk salutan polimer.

“Permintaan global terhadap sarung tangan kekal berdaya tahan. Berdasarkan unjuran (industri), permintaan dijangka berkembang antara lapan dan 10 peratus setahun dalam tempoh dua tahun akan datang, mendorong permintaan bagi kira-kira 40 bilion sarung tangan setahun,” katanya.

Bagaimanapun, industri menghadapi cabaran seperti penyusutan ringgit berbanding mata wang asing utama yang menyebabkan kos bahan mentah tidak menentu.

“Kami akan terus memulakan pelaksanaan automasi pengeluaran untuk mengurangkan kos, dan pada masa sama komited untuk mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan di kilang kami,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]