Berita

FITTERS Diversified jangka kekalkan momentum baik 2018 pada tahun ini

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- FITTERS Diversified Bhd jangka mengekalkan momentum baik dicatatkan tahun lepas pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Dis, 2019, dengan bersandarkan keputusan lebih  baik dalam semua segmen perniagaannya.

Pengarah Urusan Datuk Richard Wong berkata penyumbang utama adalah daripada pembangunan hartanah dan bahagian pembinaan dengan siapnya pembangunan perumahan bertanah Azalea@Taman Putra di Sungai Buloh menjelang akhir 2019.

Segmen lain yang memaparkan prestasi kukuh termasuk projek infrastruktur air, perkhidmatan bomba, serta  bahagian tenaga diperbaharui dan  sisa kepada tenaga, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu, di sini, hari ini.

Wong berkata kumpulan menyasarkan untuk melancarkan fasa akan datang, Belleza@Taman Putra, pada separuh kedua  2019, untuk memenuhi permintaan kukuh terhadap rumah mampu milik.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan jumlah projek infrastruktur air membayangkan prospek lebih baik bagi bahagian paip HYPRO PVC-O FITTERS berikutan kumpulan terus menerima lebih banyak tempahan, yang akan membuatkan pihaknya sibuk sepanjang tahun ini.

Anak syarikat kumpulan itu, Molecor (SEA) Sdn Bhd telah memasang paip  HYPRO PVC-O sepanjang lebih 450 kilometer di 10 negeri di Malaysia, termasuk Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak sejak 2015.

Katanya kumpulan turut menyaksikan prospek lebih baik bagi bahagian bombanya bagi tahun kewangan semasa kerana ia telah menyertai lebih banyak tender berbanding pada tahun lepas.

“Kami menyaksikan peningkatan dalam tnder bagi bangunan tinggi, serta jangkaan pertumbuhan dalam aktiviti pembinaan berdasarkan keyakinan tinggi pasaran, berikutan kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek-projek infrastruktur utama,” katanya.

Sementara itu, segmen tenaga boleh diperbaharui dan sisa kepada tenaga kumpulan itu dijangka mencatatkan peningkatan dengan pelaksanaan bekalan tenaga kepada grid kebangsaan daripada fasiliti  penjanaan tenaga biogas dua-megawatt  sejak Mac 2018.

“Kami juga akan terus mengoptimumkan segmen perniagaan untuk mencapai keuntungan lebih baik,'’ kata Wong.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]